fb fb fb fb fb

1,160 jemaah Malaysia selamat sampai ke Mekah

MEKAH, 27 Mei- Seramai 1,160 jemaah haji daripada empat penerbangan pertama, Ahad lalu selamat tiba di Mekah, semalam.

Semua jemaah diagihkan mengikut maktab masing-masing di Abraj Janadriah dan Land Premium.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memaklumkan, semua program yang dijadualkan akan bermula sebaik sahaja jemaah tiba di Mekah termasuk mengerjakan ibadah umrah.

Manakala perkhidmatan TH yang lain seperti kesihatan, peronda dan kaunseling bersedia bagi membantu para jemaah. 

Para jemaah juga dinasihat supaya mengurangkan aktiviti luar pada waktu siang, bagi mengelak impak cuaca panas ketika ini selain bergerak secara berkumpulan.

"Sedia maklum bahawa dalam suasana yang belum ramai jemaah haji ialah pada waktu malam dan awal pagi. Jadi elok para jemaah haji kita bergerak secara kumpulan terutama sekali dengan rakan-rakan sebilik," katanya.

Beliau sebelum itu bersama petugas TH menyambut ketibaan 284 jemaah haji dari Madinah di Abraj Janadriah.

Para jemaah kemudian dibenarkan berehat seketika di bilik penginapan sebelum bersiap untuk menunaikan umrah kali pertama.

Bermula pukul 9.00 malam semalam waktu Mekah sehingga awal pagi, semua 1,160 jemaah membabitkan empat zon dibawa menunaikan umrah kali pertama.

Setiap zon dibantu tiga Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) selain peronda yang akan memantau pergerakan jemaah agar tidak tersesat.

Lapan peronda bertugas disekitar kawasan Masjidil Haram bagi tujuan berkenaan.

(Jemaah haji Malaysia tiba di Mekah)

Media Baharu