BANGI, 23 Jun - Seramai 1,120 pegawai dan kakitangan dari institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 hari ini.
Majlis berprestij itu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan prestasi cemerlang warga POLYCC sepanjang tahun perkhidmatan mereka.
Oleh itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menekankan tiga teras utama ke bagi memperkukuh kedudukan POLYCC sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) negara.
Antaranya, peningkatkan jumlah pensyarah pakar rujuk dalam bidang kemahiran, penggunaan teknologi terkini dalam sistem pembelajaran POLYCC, dan melahirkan graduan yang menjadi pilihan utama industri.
“Peningkatan bilangan pensyarah sebagai pakar rujuk amat penting kerana mereka merupakan tulang belakang dalam penyampaian ilmu serta pembangunan kompetensi pelajar. Mereka juga menjadi pemudah cara dalam proses PdP dan agen perubahan yang seiring dengan kehendak industri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Cemerlang di Bangi Convention Centre (BACC) di sini pagi tadi.
Tambah beliau, dunia pendidikan hari ini memerlukan pendekatan berasaskan teknologi digital dan simulasi industri, selaras dengan perkembangan semasa dan Revolusi Industri Keempat (4IR).
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata, pemilihan penerima APC dibuat melalui proses penilaian menyeluruh dan telus.
“Kriteria penilaian termasuk tahap tanggungjawab, peningkatan kompetensi diri dan kesediaan memenuhi keperluan semasa pasaran kerja,” katanya.