GEORGE TOWN, 23 Jun- Kawalan penggunaan tenaga secara kendiri dilihat sebagai langkah proaktif rakyat dalam mengurus penggunaan elektrik dengan lebih bijak dan berhemah.
Langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban bil bulanan, malah mendorong kepada amalan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan lestari di peringkat isi rumah.
Menurut Ooi Simon yang ditemui RTM, pengurangan penggunaan peralatan elektrik yang memerlukan tenaga tinggi akan menjimatkan bil bulanan.
"Kalau kurang penggunaan peralatan yang guna banyak elektrik, bil pun akan turun. Contohnya cerek elektrik, kalau digunakan hanya untuk masak air ia mungkin tidak menjejaskan penggunaannya. Pengguna juga perlu tahu had penggunaan setiap barang elektrik.
"Sekarang pula cuaca panas, saya percaya ramai pengguna isi rumah menggunakan penghawa dingin. Jadi kita boleh cuba hadkan penggunaannya, mungkin satu hingga dua jam sahaja, selepas itu boleh tutup sebagai langkah penjimatan," katanya.
Seorang lagi pengguna Sekaran Kanaiyah memaklumkan bahawa kadar bayaran bil elektrik kini bergantung sepenuhnya kepada jumlah penggunaan individu.
"Kalau penggunaan tinggi, maka bayaran pun akan lebih. Sebelum ini mungkin biasa guna sekitar 200 hingga 300 kilowatt, jadi bil pun tak tinggi. Tapi apabila mula guna peralatan seperti penghawa dingin, mesin dan sebagainya, bayaran pun akan bertambah," jelasnya.
Menurut peniaga, Mehat Hanafiah, penetapan kadar tarif berdasarkan penggunaan kilowatt menjadikan kawalan penggunaan tenaga lebih penting.
"Bila dah ada tanda aras bagi setiap kadar penggunaan kilowatt, maka kalau kita guna banyak, bayaran pun akan jadi lebih tinggi. Jadi, kita kenalah kawal. Kalau sebelum ini buka lima lampu, televisyen dan sebagainya serentak, sekarang kena kurangkan," ujarnya.
Bermula 1 Julai depan, tarif elektrik akan meningkat daripada 39.95 sen setiap kilowatt kepada 45.40 sen per kilowatt.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang kenaikan tarif elektrik tidak akan menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah.