KLANG, 23 Jun- Kapal peronda milik Japan Coast Guard (JCG), Mizuho, selamat berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Klang (PKCT), hari ini sekali gus menandakan permulaan misi lawatan strategik bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, kehadiran Mizuho adalah bukti komitmen bersama dalam memastikan perairan rantau ini kekal aman dan bebas daripada ancaman.
"Kedatangan Mizuho ini adalah untuk memperkasakan hubungan antara JCG dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta siri latihan yang akan dilakukan.
"Ia turut merangkumi beberapa siri latihan bersama seperti yang dimaklumkan sebelum ini, termasuk kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang dijadualkan berlangsung esok.
"Langkah ini jelas menunjukkan keyakinan tinggi pihak JCG terhadap keupayaan APMM dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan maritim di zon perairan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di kapal Mizuho di Terminal Kapal Persiaran Klang (PKCT), di sini hari ini.
Lawatan rasmi dari 23 hingga 27 Jun ini bukan sekadar memperkukuh hubungan yang telah terjalin sejak tahun 2006, malah menjadi lambang kepercayaan tinggi Jepun terhadap Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim serantau yang semakin kompleks.
Turut hadir menyertai sesi lawatan itu ialah Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki serta Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.
Dalam sesi latihan bersama yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, kedua-dua pihak akan menumpukan kepada pelbagai aspek termasuk penahanan jenayah maritim, latihan operasi Carilamat, serta penggunaan teknologi seperti Long Range Acoustic Device (LRAD).
Menurut Kanosue lawatan sulung kapal Mizuho ke Malaysia selaras dengan komitmen Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang mahu memperkukuh hubungan dua hala dalam isu pengawasan pantai.
Sementara itu, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi menjelaskan bahawa sejak 2017, tiada kejadian rompakan laut berskala besar dilaporkan, hasil daripada pemantauan berterusan dan kerjasama rentas negara.
Selain itu, satu latihan bersama antara Mizuho dan Kapal Maritim (KM) Banggi akan diadakan di perairan Selangor, melibatkan simulasi penguatkuasaan undang-undang maritim termasuk operasi melawan jenayah rentas sempadan dan penyelamatan mangsa kecemasan di laut.
Kerjasama antara kapal JCG, Mizuho dan KM Banggi dijangka meningkatkan lagi kesiapsiagaan Malaysia-Jepun dalam menghadapi ancaman maritim masa depan.