fb fb fb fb fb

Pulau Pinang catat RM6.7 bilion pelaburan perkilangan suku pertama 2025

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow / Foto RTM

GEORGE TOWN, 23 Jun – Pulau Pinang terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila muncul sebagai destinasi pelaburan kedua tertinggi negara dalam sektor perkilangan bagi suku pertama 2025, selepas Sabah, dengan nilai pelaburan berjumlah RM6.7 bilion.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, jumlah tersebut mewakili 22 peratus daripada keseluruhan pelaburan sektor perkilangan negara dalam tempoh berkenaan, dengan 90 peratus daripadanya disumbang oleh pelaburan asing.

“Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan pembuatan yang diluluskan bernilai RM6.7 bilion iaitu sebanyak 22 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai penyumbang kedua tertinggi dalam kalangan semua negeri,” katanya dalam satu sidang media di KOMTAR, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaburan tersebut melibatkan 36 projek pembuatan yang diluluskan dan dijangka mewujudkan sebanyak 4,577 peluang pekerjaan baharu di negeri itu.

Tambahnya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan Pulau Pinang meskipun berdepan ketidaktentuan global dan ketegangan perdagangan antarabangsa yang berterusan.

Untuk rekod, pada suku pertama 2024, Pulau Pinang hanya mencatat pelaburan sektor perkilangan berjumlah RM1.8 bilion.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata kerajaan negeri masih berharap agar kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula cadangan untuk mengembalikan sebahagian hasil kutipan cukai kepada negeri itu bagi memperkukuh kapasiti kewangan dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan.

Beliau berkata langkah itu penting agar kerajaan negeri mempunyai dana mencukupi bagi melaksanakan projek-projek berkepentingan rakyat, selain projek infrastruktur yang diluluskan kerajaan pusat.

“Ini masa yang sesuai untuk kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan serius dan bukan sekadar mengenepikannya. Saya telah menyatakan bahawa kami sentiasa mengalu-alukan kelulusan dan peruntukan kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur, yang sememangnya baik dan dialu-alukan.

“Namun, negeri juga memerlukan dana bagi melaksanakan projek lain yang berkaitan dengan kepentingan negeri. Justeru, saya berpendapat wajar dipertimbangkan perkongsian hasil. Sekiranya bukan 20 peratus, kita boleh mulakan dengan 10 peratus terlebih dahulu,” katanya.

Chow sebelum ini pernah menyuarakan cadangan pengembalian sebanyak 20 peratus hasil kutipan cukai kepada Perdana Menteri, dan berharap kerajaan Persekutuan dapat bersikap terbuka terhadap usaha ke arah perkongsian hasil yang lebih adil antara kerajaan pusat dan negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN