KUALA LUMPUR, 23 Jun- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Tan Sri Dr Azmi Rohani sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkuat kuasa 1 Julai ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, Tan Sri Dr Azmi memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun dan memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Muar pada 1992.
Jawatan terakhir beliau adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sejak 1 Januari 2017.
"Saya percaya dengan pengalaman luas dan kredibiliti beliau dapat memperkukuhkan pentadbiran di Istana Negara serta memainkan peranan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam membantu dan menjunjung wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara," menurut kenyataan itu.
Tan Sri Dr Azmi, 59, mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Ekonomi dan Pengurusan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dan Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).