KUALA LUMPUR, 9 September – Sebanyak 1,007 projek di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) telah dilaksanakan merentasi kementerian, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan sejak Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dilancarkan pada 10 September tahun lalu
Pengarah Seksyen Perancangan Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Fauzi Mohd Said berkata pelaksanaan projek itu mempercepatkan urusan permohonan, meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan mengurangkan kerenah birokrasi.
“Cabaran utama ialah soal pembudayaan. Reformasi bukan sekadar projek besar, tetapi perlu dipupuk dalam kerja seharian penjawat awam termasuk penghayatan nilai murni,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Beliau berkata, ARPA dirangka sehingga 2030 dengan 38 inisiatif kebangsaan, termasuk mewujudkan peranan Chief Reform Officer (CRO) di setiap kementerian dan kerajaan negeri bagi memacu pelaksanaan reformasi organisasi.
Menurutnya, sasaran tahun 2025 adalah memastikan 1,007 projek RKB yang didaftarkan dapat diselesaikan sepenuhnya dan bukannya sekadar menambah jumlah projek baharu tanpa keberhasilan jelas.
Kerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga sedang dijalankan untuk memastikan projek-projek itu berhasil dan dapat dimanfaat kepada rakyat.
“Projek RKB ini dekat dengan rakyat, contohnya mempercepat kelulusan lesen atau memudahkan urusan perniagaan. Impak sebegini yang kita mahu dirasai masyarakat,” jelas Fauzi.