KUALA LUMPUR, 9 September – Sebanyak 27 kes kebakaran membabitkan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak 2023 hingga Julai lalu.
Angka itu sekali gus mencatatkan purata 10 kes kebakaran kenderaan EV bagi setahun.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, meskipun EV mesra alam dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil, ia masih berisiko tinggi terbakar.
"Kebakaran EV menjadi cabaran besar kepada anggota bomba kerana ia sangat berisiko tinggi apabila kita perlu memadamkan kebakaran.
"JBPM menganggap kebakaran EV antara cabaran terbesar kerana risiko tinggi ketika operasi pemadaman. Fire blanket antara kaedah paling berkesan selain air dan buih,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai perancangan kementerian membekalkan fire blanket ke balai bomba berikutan peningkatan kes kebakaran EV serta hibrid di bandar utama.
Menurutnya, JBPM memperoleh 318 unit fire blanket bernilai RM915,000 tahun ini untuk diagihkan ke balai bomba terpilih di seluruh negara bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi.
Selain itu, JBPM turut menerima sumbangan 30 unit fire blanket daripada Persatuan Kenderaan Sifar Pelepasan Malaysia (MyZEVA) yang diagih berperingkat bermula Disember 2024 hingga Mei lalu.
Aiman berkata, JBPM turut mengkaji penggunaan peralatan khas lain termasuk ejen penyejuk serta kontena rendaman sebagai alternatif dalam operasi memadam kebakaran kenderaan elektrik.
“Buat masa ini, ejen penyejuk digunakan JBPM ialah air bagi mengurangkan tahap haba bateri, sekali gus mengelak api merebak serta menjadi lebih besar,” katanya.
Katanya, ejen penyejuk lain seperti serbuk kering, ejen bersih dan gas lengai tidak sesuai digunakan di kawasan terbuka kerana memerlukan konsep total flooding untuk berfungsi berkesan.