fb fb fb fb fb

Malaysia kekal seimbang urus hubungan dengan kuasa besar

Datuk Seri Mohamad Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berkecuali dalam mengurus hubungan strategik dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, pendekatan itu selaras dengan prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana blok kuasa, sebaliknya perlu mengekalkan pendirian neutral demi kestabilan dan kepentingan negara.

“Kita tidak boleh dilihat memihak kepada mana-mana pihak. Amerika Syarikat merupakan pelabur terbesar di Malaysia, manakala China pula adalah rakan dagang utama negara," katanya ketika menyampaikan kenyataan penutup Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan ZOPFAN amat penting bagi Malaysia dan ASEAN dalam mengekalkan rantau ini sebagai zon aman.

Justeru, Malaysia tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana kuasa besar.

Sementara itu, berhubung isu tarif,beliau berkata, Malaysia sedang giat menjalankan rundingan dengan pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN