fb fb fb fb fb

AMM ke-58 bukti ASEAN dihormati, disegani dunia

Menteri-Menteri Luar ASEAN bergambar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian AMM ke-58 - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – ASEAN kini semakin mendapat kepercayaan daripada kuasa-kuasa besar dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah rantau yang dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keyakinan ini terbukti menerusi kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN AMM ke-58 (AMM ke-58) yang berlangsung di ibu negara.

1107 NSL AMM TOKMAT ASEAN DISEGANI 2Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada Majlis Perasmian AMM ke-58 - Foto FB Datuk seri Mohamad Hasan

“ASEAN kini bukan sahaja diiktiraf sebagai sebuah kawasan yang aman, malah turut dilihat sebagai rantau yang mempunyai potensi ekonomi yang amat besar.

“ASEAN yang dahulunya hanya dianggotai lima buah negara kini telah berkembang kepada 10, dan menjelang Oktober, jumlah itu bakal meningkat kepada 11 dengan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media penutup AMM ke-58 yang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Datuk Seri Mohamad berkata, semakin banyak negara kini menunjukkan minat untuk menjadi rakan sektoral dan rakan dialog ASEAN.

1107 NSL AMM TOKMAT ASEAN DISEGANI 421 mesyuarat bersama rakan dialog dan 15 mesyuarat dua hala berjaya dilaksana sepanjang AMM ke-58 - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

“Ada satu atau dua permohonan yang masih dalam pertimbangan. Sekiranya kita menerima negara tersebut sebagai rakan dialog, ia boleh memberikan nilai tambah yang besar kepada ASEAN. Justeru, kita sedang meneliti keperluan dan manfaatnya," katanya.

Malaysia telah menunjukkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa apabila berjaya menganjurkan sebanyak 21 mesyuarat bersama rakan-rakan dialog ASEAN sepanjang sidang AMM kali ini.

Sebanyak 15 mesyuarat dua hala turut berjaya diadakan antara Malaysia dan pelbagai negara luar, termasuk Algeria, Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kanada, China, Jepun, New Zealand, Palestin, Filipina, Switzerland, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Uruguay.

Mesyuarat-mesyuarat berkenaan membincangkan pengukuhan hubungan dua hala dan isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK