KUALA LUMPUR, 11 Jun- Tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pemilihan tema tersebut mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama.
Jelasnya, sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan di Dataran Putra, Putrajaya manakala Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia, mengikut sistem penggiliran antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Logo Malaysia MADANI pula akan terus kekal digunakan sebagai logo rasmi sambutan itu hingga tahun 2027.
"Pelbagai program bersempena HKHM 2025 telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dan mengangkat jiwa merdeka dalam kalangan rakyat.
Antaranya termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang akan berlangsung pada 27 Julai di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini.
Mengenai sambutan HKHM2025, Fahmi berkata terdapat 14 program sisipan akan dilaksanakan melibatkan pelbagai peringkat pelaksanaan dari nasional hingga ke akar umbi masyarakat.
Antaranya Quran Hour, Kira Detik Merdeka, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dan Wayang Pacak Merdeka.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi Merdeka360, iaitu inisiatif promosi HKHM 2025, untuk mendapatkan maklumat mengenai program dan aktiviti yang akan berlangsung.