KUALA LUMPUR, 11 Jun- Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan terus diperhebat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu meliputi penambahan dua kluster baharu melibatkan kluster industri dan agensi kerajaan sekali gus menjadikan tujuh kluster secara keseluruhan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga etika penggunaan Jalur Gemilang.
"Tahun lalu pelaksanaan inisiatif tersebut melibatkan lima kluster utama dan mencatatkan sebanyak 698 program dilaksana. Bagi tahun ini, inisiatif ini akan dipertingkat lagi dengan penglibatan tujuh kluster keseluruhannya.
Bendera yang lusuh, pudar atau koyak hendaklah diganti dengan yang baharu. Jalur Gemilang bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi rasa hormat kita kepada negara,” tegas Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan salah satu usaha dalam memupuk dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menggalakkan aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, bangunan kerajaan termasuk kenderaan persendirian.