fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia tunjuk pertumbuhan positif

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Ekonomi Malaysia bukan sahaja telah pulih sepenuhnya, malah terus menunjukkan pertumbuhan positif sepanjang tahun, kata Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini dijangka kekal positif sekitar 4.5 hingga 5 peratus.

Beberapa indikator lain turut menunjukkan prestasi memberangsangkan, seperti jumlah eksport yang terus meningkat, imbangan dagangan yang positif, serta akaun semasa negara yang kekal mencatatkan lebihan.

"Jumlah tenaga buruh kekal meningkat kepada lebih dari 16.8 juta pekerja.

"Ini menunjukkan peluang pekerjaan itu semakin banyak disebabkan pelaburan langsung asing (FDI) yang turut meningkat disebabkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, positif setiap tahun.

"Ia mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh berita RTM.

Jelasnya lagi, kadar iflasi Malaysia kekal rendah di bawah 3 peratus.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa kadar pengangguran Malaysia menurun 3 peratus pada April berbanding 3.1 peratus pada Mac, iaitu kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.

Bilangan penganggur pula berkurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 525,900 orang pada April 2025, berbanding 529,600 pada Mac.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM