
KLUANG, 27 Jun – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap menyaksikan saingan satu lawan satu apabila penyandangnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN), dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Nor Hafiz Roslan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
- Pegawai Pengurus mengesahkan kedua calon layak bertanding selepas proses penamaan.
- Nor Hafiz, 41, anak jati Sri Lalang, berjanji mengetengahkan manifesto fokus pembangunan Machap sepanjang kempen.
- Datuk Onn Hafiz menyeru kempen dua minggu dijalankan secara sihat, tertib dan penuh adab.
- Proses penamaan calon berlangsung lancar dengan hanya dua calon mengemukakan borang; DUN mempunyai 35,206 pengundi.
Kedua-dua calon disahkan layak bertanding selepas pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Izzul Helmi, sejurus selesai proses penamaan calon.
Nor Hafiz, 41, yang juga anak jati Sri Lalang, berkata beliau komited menawarkan agenda pembangunan terbaik buat penduduk Machap sepanjang tempoh berkempen.
“Kami daripada PH akan membentangkan manifesto dan tawaran yang memberi tumpuan kepada pembangunan Machap,” katanya.
Sementara itu, Datuk Onn Hafiz berharap tempoh berkempen selama dua minggu berlangsung dalam suasana harmoni dan berhemah.
“Tahniah kepada semua calon yang bertanding. Saya berharap kita dapat berkempen secara sihat, tertib dan penuh adab,” katanya.
Proses penamaan calon di DUN Machap berlangsung lancar dengan hanya dua calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing.
Nor Hafiz tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.03 pagi bersama pencadang dan penyokongnya, diikuti Datuk Onn Hafiz tiga minit kemudian.
DUN Machap mempunyai seramai 35,206 pengundi berdaftar, termasuk 28 pengundi awal.