
JOHOR BAHRU, 27 Jun – Kesemua 56 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dibuka serentak 9 pagi ini.
- Tempoh penyerahan kertas penamaan sejam sehingga 10 pagi; boleh diserahkan oleh calon, pencadang atau penyokong; kempen 14 hari hingga 11.59 malam 10 Julai.
- Polis dengan bantuan RELA mengawal keselamatan dan trafik di pusat penamaan calon bagi memastikan kelancaran proses.
- PRN melibatkan 2,727,926 pemilih; undi awal 7 Julai, hari pengundian ditetapkan 11 Julai.
Bakal-bakal calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di pusat penamaan calon, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.
Sebaik sahaja proses pengesahan selesai, bermulalah tempoh berkempen selama 14 hari seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 11.59 malam, 10 Julai.
Bagi proses penyerahan, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di daerah Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi, Pontian, Tangkak dan Kulai pada sebelah pagi ini, manakala Segamat, Kluang serta Mersing diramalkan cerah.
MetMalaysia turut menjangkakan ribut petir di kebanyakan daerah termasuk Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi pada sebelah petang.
Bagi memastikan kelancaran proses, pihak polis dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal ketat aspek keselamatan serta lalu lintas di sekitar kawasan PPC bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Julai manakala undi awal pada 7 Julai.-BERNAMA