fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN 2025, perkukuh pemusatan serantau

Laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar raya ibu negara dihiasi dengan gegantung dan papan iklan bertemakan ASEAN, menyambut ketibaan para pemimpin serta delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025/Foto BERNAMA

ULASAN BERITA

Sepanjang minggu ini, Malaysia menjadi tumpuan antarabangsa. Apa tidaknya, belum pun reda Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang dijadual selesai esok.

Bandaraya Kuala Lumpur pula jadi perhatian sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sebuah perhimpunan utama ketua-ketua negara ASEAN bagi meneliti kemajuan komuniti serantau merentasi tiga tunjang iaitu politik- keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Dimulakan dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan hari ini, diikuti pula mesyuarat peringkat menteri pada Ahad. Manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan dimulai pada Isnin hingga Selasa depan. Lebih 1,200 petugas media, termasuk 500 wakil agensi berita antarabangsa berkampung di ibu negara.

Tema Pengerusi ASEAN Malaysia ‘Keterangkuman dan Kemampanan' diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global. Selari dengan hasrat untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Deklarasi Kuala Lumpur juga bakal dilancarkan di pentas sama. Sebuah dokumen yang bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau dari aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan deklarasi itu sebagai kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan. Ia turut mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting yang berorientasikan masa hadapan.

Bersempena dengan persidangan tersebut, dua mesyuarat peringkat tinggi lain akan dijalankan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2. Tidak ketinggalan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Pelbagai perkara sudah tentu akan dibentang, diperhalusi dan dipersetujui secara bersama. Antaranya pengukuhan kerjasama antara negara anggota, kepentingan ekonomi serantau, inisiatif pelaburan dalam kalangan negara ASEAN dan isu berkaitan Gaza.

Penekanan juga difokuskan kepada kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN (APG) yang disifatkan sebagai langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga serantau. Berkait APG, ia antara agenda utama yang dipacu Malaysia sebaik menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

APG bukan hanya mengenai penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut, tetapi akan turut menjadikan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa. Ia memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan selain memastikan bekalan tenaga yang lebih terjamin serta mampan.

Secara tidak langsung boleh mempercepatkan penggunaan teknologi hijau menerusi pertukaran sumber, pengetahuan dan kepakaran. Menurut Perdana Menteri, fasa pertama APG ialah untuk menghubungkan Vietnam ke Malaysia utara dan selatan, kemudian disambungkan ke Singapura. Fasa seterusnya diperluas merangkumi Kemboja, Thailand dan Sarawak.

Jajaran APG juga berpotensi disalurkan ke Kalimantan Indonesia dan juga Selatan Filipina. Ini membawa maksud AGP merupakan agenda besar yang perlu dipersetujui secara bersama untuk direalisasikan.

Sidang kemuncak ini adalah permulaan sebelum Malaysia menjadi hos kepada Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog Oktober depan. Pentasnya lebih besar kerana membabitkan negara-negara ASEAN dengan 10 negara rakan dialog seperti China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat. Kemungkinan besar Presiden Rusia, Vladimir Putin pun akan hadir selepas dijemput Datuk Seri Anwar baru-baru ini.

Sudah menjadi lumrah, apa-apa persidangan besar membabitkan ramai pemimpin luar, pasti akan ada kesesakan trafik dan penutupan jalan. Ini bagi memudahkan perjalanan serta untuk menjamin keselamatan mereka.

Bermula hari ini hingga Rabu depan, enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat mengikut tempoh tertentu. Kepada para pengguna jalan raya terlibat, bersabar dan rancanglah perjalanan anda. Sebaik-baiknya guna pengangkutan awam.

Kerajaan juga memberi kebenaran kepada orang ramai untuk bekerja dari rumah, tertakluk kepada kelulusan majikan masing-masing. Begitu juga kebenaran kepada 71 buah sekolah di Lembah Klang untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah. Kelonggaran ini seharusnya memberi kelegaan.

Apa yang pasti, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN wajib memastikan sidang ini dianjurkan sebaik mungkin sesuai dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan'.

Selamat datang ke Kuala Lumpur!!

Ulasan Berita disediakan oleh Editor Berita RTM, Jalaluddin Baharin.

MAT YUNUS BIN SABRI