ULASAN BERITA
Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-46 yang berlangsung di ibu negara, melabuhkan tirai dengan jayanya. Selepas 10 tahun, Malaysia kembali mengadakan sidang kemuncak serupa. Namun, kali ini dengan versi berbeza tetapi matlamat, misi dan visi tetap sama.
Apa yang membezakan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025 dan 2015 atau tahun-tahun sebelum ini? Saudara, jika dahulu Sidang Kemuncak ASEAN 2015 merintis jalan kepada penubuhan Komuniti ASEAN. Tetapi sidang kemuncak kali ini lebih menumpukan aspek kerjasama serantau yang dinamik, kompleks dan berimpak tinggi.
Kita melakar sejarah baharu apabila menganjurkan Persidangan ASEAN bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) buat pertama kali. Persidangan itu meliputi 10 negara ASEAN dan enam negara Teluk iaitu Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, UAE dan Arab Saudi.
Persidangan ini penting kerana GCC dan ASEAN dianggap sebagai dua kumpulan serantau yang sangat bertenaga dan hebat dari segi ekonominya. Kata PMX, kerjasama baharu yang terbentuk antara ASEAN dengan GCC merupakan permulaan kepada era transformasi, terutama dalam aspek tadbir urus serta pelaburan rentas wilayah yang lebih menyeluruh dan strategik.
Pencapaian sedemikian tidak akan dapat direalisasikan tanpa wujudnya asas saling mempercayai yang teguh antara negara anggota. Kesepakatan itu turut membuktikan tahap kematangan diplomatik antara ASEAN. Sekali gus merupakan pencapaian besar yang turut meyakinkan China untuk bersama dalam rundingan dengan ASEAN.
Seperti selalu ditekankan PMX, ASEAN kekal sebagai rantau paling aman dengan pertumbuhan ekonomi yang pantas. GCC pula menyaksikan perkembangan luar biasa dalam sektor tenaga boleh baharu, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Maka, gabungan kekuatan ini membentuk asas kukuh untuk meneroka masa depan bersama. Hubungan lebih kukuh antara kedua-dua rantau adalah kunci untuk meningkatkan kerjasama antara wilayah. Membina ketahanan dan memastikan kemakmuran yang mampan untuk rakyat.
Kejayaan rundingan bersama pemimpin ASEAN, GCC dan China mencerminkan pencapaian luar jangka, memandangkan kesepakatan dapat dicapai oleh pihak terlibat dalam pelbagai isu utama.
Yang jelas, penganjuran dua sidang penting iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China membuka lembaran baharu, dalam memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan. Seiring dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Bayangkan, tiga entiti gergasi - ASEAN, China dan GCC duduk semeja, memperkukuh ikatan yang berakar umbi sejak zaman Laluan Sutera. Ini langkah mega ke arah kesejahteraan bersama dan melonjakkan agenda 'Keterangkuman dan Kemampanan' kita.
Dengan potensi ekonomi ASEAN yang kini berjumlah 3.8 trilion dolar (ke-5 terbesar dunia), Malaysia yakin mampu memainkan peranan sebagai hab inovasi, perdagangan dan pertukaran ilmu global. Sementara China kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah AS$696.7 bilion.
Dengan gabungan kekuatan ini, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China menjadi pemangkin utama ke arah perkongsian ekonomi tiga hala mampan dan menyeluruh. Skala ekonomi luas itu bukan sahaja mampu meningkatkan perdagangan rentas sempadan, malah mempercepat inovasi, mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan menyokong pembangunan infrastruktur.
Tahun ini menandakan satu dekad terbentuknya komuniti ASEAN. Memandang jauh kedepan, Malaysia terus mengorak langkah, melancarkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045. Bertemakan Masa Depan Kita Bersama, deklarasi itu menetapkan hala tuju strategik blok serantau untuk dua dekad akan datang.
Dokumen ini merupakan kesinambungan ASEAN 2025: Maju Bersama yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia tahun 2015 dan kini menjadi peta hala tuju baharu untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat. Serta menjadi pusat pertumbuhan utama di rantau Indo-Pasifik menjelang 2045.
Visi itu bukan sekadar simbolik. Sebaliknya merupakan permulaan kolektif untuk masa depan ASEAN yang gemilang. Juga, mengesahkan komitmen semua negara anggota terhadap rantau Asia Tenggara yang aman, makmur dan sejahtera.
Mengejar impian bersama, marilah kita ASEAN membulat tekad, memperkukuhkan azam dan membugar semangat perpaduan. Seperti pesanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Baginda menzahirkan harapan agar ASEAN dan rakan-rakannya untuk terus bersatu dan saling menghormati demi membina masa depan yang inklusif serta berdaya tahan.
Lihat sahaja dalam sukan bola sepak misalnya. Dengan bersatu selaku blok ASEAN, kita dapat menumbangkan gergasi Inggeris, Manchester United. Bahkan lebih daripada itu kejayaan akan dapat diraih.
Sama-sama kita saksikan ASEAN terus gemilang di persada dunia kelak. Bersatulah ASEAN, Majulah ASEAN! Sesungguhnya masa depan milik kita bersama.
Ulasan Berita disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin.