fb fb fb fb fb

Tong gas ungu: Usah keliru tidak aniaya peniaga kecil

Foto hiasan/BERNAMA

 

ULASAN BERITA

Baru-baru ini kecoh dengan kewujudan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) warna ungu dalam pasaran. Heboh satu Malaysia. Hingar-bingar. Pelbagai persepsi dan gosip liar muncul mempertikaikan kewajaran tong gas komersial berkenaan. Walaupun cuma mendengar cakap orang yang tidak pasti betulnya.

Sekadar perkongsian, terdapat pelbagai saiz tong gas LPG yang disediakan beberapa pembekal utama untuk keperluan pengguna di negara ini. Biasanya 12 kilogram dan 14 kilogram. Warna pula ada hijau, merah hijau, kuning, oren, kelabu dan yang paling kontroversi ketika ini tentulah ungu. Mengapa?.

Warna ungu ini bertujuan untuk membezakan antara tong gas bersubsidi dengan tidak bersubsidi. Pemisahan yang jelas antara penggunaan domestik dan komersial, serta memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa. Isunya di sini.

Pada 1 Mei lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Operasi Gas Memasak (OP GASAK), bertujuan membanteras penyelewengan subsidi LPG bagi memastikan gas memasak bersubsidi hanya digunakan oleh isi rumah yang layak.

Bukan oleh sektor industri yang tidak berhak, Selain bertujuan membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram "decanting" -pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.

OP GASAK merupakan inisiatif penguatkuasaan terkini yang dilancarkan bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024. Operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Kastam, dan SPRM.

Saudara, KPDN telah menumpaskan aktiviti penyelewengan LPG bernilai RM2.4 juta dari 1 Januari 2024 hingga 30 April lepas di seluruh negara. Kes terbaharu di Seremban, Negeri Sembilan, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM450,000.00.

Sebanyak 35 premis di Selangor juga diserbu disyaki melakukan perkara sama. Tidak seperti didakwa pihak tertentu, kononnya kerajaan sedang melaksanakan pemansuhan subsidi LPG. Hakikatnya, andaian itu tidak tepat. Ia jelas boleh mengelirukan rakyat.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan mereka itu mungkin tidak faham dasar dan peraturan. Hanya semata-mata mahu mencetuskan keraguan. Jadi, reaksilah tanpa prejudis!.

Mengenai kekhuatiran masyarakat berhubung kenaikan harga makanan?, Datuk Armizan mengakui risikonya tetap ada, atas alasan peningkatan kos operasi perniagaan. Sehubungan itu, pemeriksaan rutin di semua peringkat premis perniagaan diteruskan dan penguatkuasaan diperkasa.

Bagi memastikan pematuhan kepada semua kerangka perundangan bawah bidang kuasa KPDN. Ini termasuk aspek berkaitan paparan harga, timbang sukat, aktiviti sorok dan permit barang kawalan berjadual.

Semua ini dilaksanakan tidak lain demi menjaga hak setiap pengguna dan negara secara keseluruhan. Tetapi masih ada lagi yang keliru. Ada pihak yang terus mempersoalkan pendekatan ini di media sosial secara perbandingan. Pengiraanya seperti ini.

“Makcik Kiah berniaga menjual goreng pisang, mee goreng, dan air menggunakan 3 tong gas LPG seminggu. Dulu, dia menggunakan gas bersubsidi – RM26.60 satu tong. Tiga tong seminggu, jadi RM79.80 sen. Sebulan RM319.20.

"Sekarang, dakwanya lepas bertukar kepada tong gas ungu, Makcik Kiah terpaksa membayar RM70 satu tong. Sebulan, RM840.00".

Bagaimanapun, komen itu mendapat perhatian Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh dan dijawab beliau dengan analogi sama. Begini jelas Dr Fuziah secara mudah dan ringkas.

“Makcik Kiah tidak perlu pun menggunakan tong ungu”. Katanya, peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh menggunakan tong gas hijau bersubsidi. Syaratnya, tidak lebih daripada 3 tong gas 14 kilogram pada satu masa dan jumlah maksimum 42 kilogram.

Tidak semua perniaga perlu guna tong ungu. Tong gas ungu hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya.

Bagaimanapun semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan peniaga berskala mikro dan kecil DIBENAR menggunakan LPG bersubsidi. Bagi keperluan premis makanan dan minuman sendiri, sementara peraturan dipinda.

Jangan takutkan rakyat dengan maklumat kurang tepat. Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak dan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana.

Jangan jadikan tong ungu sebagai alasan untuk menaikkan harga secara melampau, seterusnya membebankan pengguna. Lebih-lebih lagi esok semua umat Islam di negara ini akan meraikan Hari Raya Aidiladha.

Peniaga...usah sorok tong gas bersubsidi!. Hindar perbuatan jenayah. Subsidi hanya untuk yang layak!.

Ulasan Berita disediakan oleh Editor Berita RTM, Zamzuri Zawawi.

MAT YUNUS BIN SABRI