ULASAN BERITA
Kemalangan jalan raya terus menjadi antara isu keselamatan yang sentiasa membelenggu negara. Insiden khususnya melibatkan bas atau kenderaan berat menjadi penyumbang kepada kemalangan berskala besar dan kehilangan nyawa yang tragis.
Malah, saban tahun menyumbang peratusan signifikan kepada angka keseluruhan kemalangan maut negara. Faktanya, kemalangan jenis ini adalah ancaman nyata di jalan raya yang memerlukan perhatian serius dan tindakan pencegahan tegas semua pihak. Ketegasan itu bukan sekadar dilampias secara lisan malah harus didukung dengan kerja penguatkuasaan berterusan.
Tragedi seperti kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan Perak, 13 Mei lalu yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU); dan, insiden bas di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi 9 Jun lalu, antara bukti seriusnya isu ini.
Kemalangan terbabit menyaksikan pelbagai aspek kelemahan berkait penguatkuasaan, penyelenggaraan kenderaan dan infra serta disiplin pemandu diperdebat dan dibahas bijak pandai.
Ulasan dan reaksi yang dilontar seolah-olah mereka tahu undang-undang lebih daripada ketua hakim, lebih arif mengenai struktur jalan mengalahkan jurutera daerah atau hebat bercerita aspek mekanikal kenderaan melebihi seorang mekanik.
Kementerian Pengangkutan menegaskan penguatkuasaan dan pematuhan mandatori terhadap pemasangan pengehad kelajuan (speed limiter) dan kamera video 'on-board' pada bas serta lori akan dikuatkuasakan. Jika kelajuan dapat dikurangkan, kenderaan dapat dikawal dengan baik seterusnya mengurangkan impak jika berlaku kemalangan.
Menterinya, Anthony Loke juga memberitahu, sistem pangkalan data pemandu bas eskpres dan persiaran akan dibangunkan. Sistem itu lengkap dengan rekod lampau dan buruk mereka membolehkan syarikat bas menilai kelayakan dan latar belakang pemandu sebelum diambil bekerja.
Memandangkan isu kecuaian pemandu menjadi faktor dominan kemalangan, beberapa langkah tambahan perlu diambil kira. Antaranya memperketat proses latihan dan lesen untuk pemandu kenderaan berat, termasuk latihan berkala dan pemeriksaan kesihatan berkala.
Penggunaan teknologi keselamatan seperti kamera papan pemuka (dashcam), brek automatik kecemasan termasuk mewajib penggunaan sistem pemantauan keletihan pemandu (driver fatigue monitoring system) juga harus diberi keutamaan.
Selain itu, rungutan pengguna mengenai kualiti turapan dan penyelenggaraan jalan di lokasi nahas juga sering berbangkit. Masalah jalan rosak dan pertanyaan 'bila jalan hendak dibaiki' oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerap kedengaran dan menjadi topik perbincangan.
Isu timbul apabila setiap jalan di Malaysia ada pemiliknya sendiri dan bukan semuanya dimiliki JKR. Apa pun polemiknya, walau siapa pun pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelenggara jalan berkenaan, keselamatan pengguna harus menjadi keutamaan.
Masanya sudah tiba, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) perlu dinaik taraf. Fasiliti itu dahagakan pembaharuan drastik seiring dengan kemodenan negara. Usaha itu harus direalisasi dan tidak lagi bersandarkan modal air liur semata-mata.
Semua perlu dijayakan secara bersama, berkala dan bukan bermusim dan hanya nampak 'bekerja' setiap kali malapetaka berlaku. Manfaatkan peruntukan jutaan ringgit yang diumumkan dan mulakan kerja naik taraf JRTB sesegera mungkin.
Dalam masa sama, ramai yang rindukan peranan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) yang dulunya agresif dengan kempen kesedaran keselamatannya. Kembalikan fungsi dan program advokasinya.
Pengguna jalan raya perlu diperingatkan semula tentang cara berkongsi jalan secara selamat. Sikap tidak sabar, pemanduan tidak beretika dan tidak peduli pengguna lain harus diiubah.
Ramai juga yang tidak mahu malah mual mendengar alasan kegagalan sistem brek, tayar botak atau muatan berlebihan sebagai 'kambing hitam' sesuatu kejadian kemalangan.
Melainkan, ia hanya alasan mudah untuk menutup cuai pemandu atau pengusaha yang ingin mengurang kos tetapi rakus mengejar untung. Faktor-faktor itu kini dilabel tindak balas stereotaip dan reaksi tipikal semata-mata ingin menyembunyi kesilapan sendiri.
Ketahuilah, kemalangan melibatkan bas dan kenderaan berat bukan isu remeh tetapi memberi kesan besar kepada masyarakat. Ia ancaman nyata yang mengorbankan nyawa, menjejaskan ekonomi dan mengganggu kesejahteraan masyarakat.
Tragedi 15 pelajar UPSI harus menjadi iktibar semua. Mereka adalah anak, teman dan harapan keluarga. Pemergian mereka meninggalkan ruang kosong yang tidak akan berganti.
Semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan jalan raya kita lebih selamat untuk semua. Pandu selamat, di jalan selamat.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Khairul Amri Yasin.