fb fb fb fb fb

Rasionalisasi subsidi, tampung beban semasa corak masa depan bersama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi pada 17 Jun 2025/FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Rasionalisasi subsidi RON95 akan diteruskan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. Bukan hanya soal pengurangan beban kewangan kerajaan – ia adalah langkah penting ke arah ekonomi yang lebih tersusun, telus dan mampan.

Langkah itu juga disifatkan tepat pada masanya, dengan matlamat utama untuk memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Ia juga dijangkakan mampu menjimatkan sekitar RM8-bilion ringgit setahun.

Wah.. banyak betul boleh jimat!! Dengan penjimatan sebanyak itu, boleh digunakan semula untuk memperkasa bantuan bersasar, infrastruktur dan perkhidmatan awam. Dalam erti kata lain, subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh, tetapi akan difokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan – seperti B40 dan M40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ada menegaskan bahawa rasionalisasi subsidi itu adalah satu keperluan kritikal untuk negara ketika ini. Bukan sahaja daripada aspek fiskal tetapi juga dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur awam.

Katanya, 85 hingga 90 peratus rakyat tidak akan terkesan jika ia dilaksanakan. Itu janji PMX.! Fokus utamanya adalah untuk memastikan 15 peratus lagi pengguna; terdiri daripada warga asing dan golongan mahakaya yang juga menikmati peratus subsidi RON95 dikaji dengan lebih mendalam.

Mekanisme pelaksanaan juga sedang diperincikan. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan bercadang menggunakan data PADU, MyKad, dan platform digital seperti e-dompet untuk mengenal pasti penerima subsidi. Pendekatan itu mencerminkan perubahan struktur yang signifikan dalam sistem penyampaian bantuan negara.

Namun, tentunya ia akan memberi kesan psikologi terhadap pasaran. Sebagai contoh, peniaga mungkin akan menaikkan harga barang lebih awal atas jangkaan peningkatan kos. Tentunya keadaan itu meresahkan rakyat. Sehubungan itu, kawalan harga dan komunikasi efektif kepada pengguna perlu menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Di sebalik cabaran itu, muncul pula satu berita positif yang membuktikan keyakinan luar terhadap arah ekonomi Malaysia. Shell mengumumkan komitmen untuk melabur lebih RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Pelaburan itu bukan sahaja bakal menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membuktikan bahawa dasar ekonomi negara termasuk penyasaran subsidi dan pengukuhan fiskal diyakini pelabur antarabangsa.

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan, menyuarakan keyakinan terhadap dasar ekonomi Kerajaan Madani yang stabil, mampan dan berpandangan jauh.

Gergasi tenaga dunia itu yang telah lama menjadi rakan pelaburan Malaysia melihat potensi besar dalam landskap tenaga negara – termasuk peralihan kepada tenaga bersih dan struktur ekonomi yang lebih cekap.

Pelaburan itu menjadi bukti bahawa langkah berani seperti rasionalisasi subsidi bukanlah penolakan terhadap rakyat, tetapi pelaburan semula dalam masa depan negara. Ia mencipta asas fiskal yang lebih kukuh untuk menarik pelabur berkualiti, meningkatkan pekerjaan, serta menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Secara keseluruhan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 adalah sebahagian daripada reformasi ekonomi lebih besar yang kini sedang berlaku di Malaysia. Ini tentang membina semula sistem – bukan sekadar menampung beban semasa, tetapi mencorak masa depan yang lebih saksama, cekap dan berdaya tahan.

Terdahulu, Malaysia merekodkan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025. Kedudukan terbaharu itu adalah pencapaian terbaik negara sejak 2020. Ia mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.

Sesungguhnya, rasionalisasi subsidi RON95 adalah langkah penting untuk memastikan peruntukan yang lebih tepat dan berkesan. Walaupun perubahan itu dirasakan sedikit mencabar pada awalnya, ternyata, ia diperlukan untuk memastikan ketahanan kewangan negara dan keadilan dalam pengagihan bantuan.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Noorain Abdullah.

MAT YUNUS BIN SABRI