fb fb fb fb fb

Tarif elektrik baharu: Lebih adil dan telus

Foto hiasan/BERNAMA

ULASAN BERITA

Rasionalisasi tarif elektrik akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai ini. Namun, ramai yang tertanya-tanya, apakah kesan langkah ini kepada pengguna? Adakah bil elektrik akan naik?

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tenaga pada 20 Jun lalu, majoriti pengguna domestik dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan tarif baharu ini. Malah, lebih 23.6 juta pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif.

Struktur tarif elektrik baharu ini adalah bertujuan menjadikan bil elektrik lebih jelas dan mencerminkan keadaan pasaran sebenar. Beberapa penambahbaikan telah diperkenalkan.

Antara langkah utama ialah pengurangan kadar purata tarif asas kepada 45.40 sen per kilowatt-jam, lebih rendah daripada kadar sebelum ini. Ini membolehkan penurunan kos keseluruhan tarif elektrik sehingga 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Kerajaan turut memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga sebagai galakan kepada pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah. Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kilowatt-jam dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kilowatt-jam dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini. Insentif Cekap Tenaga diberikan dalam bil elektrik bulanan kepada pelanggan yang menggunakan elektrik secara cekap.

Kadar insentif ini berbeza mengikut jumlah penggunaan bulanan, lebih rendah penggunaan, lebih tinggi potensi penjimatan. Pengurusan penggunaan elektrik yang lebih cekap dapat membantu mengurangkan bil elektrik serta memberi impak positif kepada alam sekitar.

Jika pengguna dapat mengekalkan penggunaan elektrik sebanyak 600 kilowatt-jam dan ke bawah setiap bulan atau purata 20 kilowatt-jam sehari, mereka akan menikmati Pengecualian Caj Peruncitan dan Kadar Insentif Cekap Tenaga yang lebih tinggi.

Contohnya, jika penggunaan elektrik Pak Ali adalah 600 kilowatt-jam sebulan bilnya adalah RM216 dengan anggaran pengiraan tarif baharu berbanding RM223.50 dengan pengiraan jadual tarif lama.

Melalui tarif baharu ini, pengguna juga digalakkan menyesuaikan corak penggunaan mereka melalui skim Masa Penggunaan atau Time of Use (TOU). Tempoh waktu luar puncak telah diselaras dan diperluas kepada tempoh lebih panjang iaitu sepanjang hari Sabtu dan Ahad, manakala dari pukul 10.00 malam sehingga 2.00 petang pada hari biasa.

Sebagai contoh, jika Mak Intan melakukan rutin basuh baju dengan mesin basuh, pada hari minggu sahaja, maka Mak Intan boleh mendapat penjimatan ketara dalam bil elektrik bulanannya. Pengguna boleh mengurangkan penggunaan elektrik dengan mengamalkan tip-tip penjimatan tenaga dan beralih kepada peralatan jimat tenaga.

Satu lagi penambahbaikan, pengguna juga akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci. Ini membolehkan rakyat lebih memahami corak penggunaan tenaga, sekali gus membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan tenaga isi rumah.

Selain itu, rasionalisasi tarif ini turut memperkenalkan Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang lebih dinamik. Berbeza dengan Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT), AFA melaraskan tarif setiap bulan berdasarkan ramalan harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.

Secara keseluruhan, mekanisme ini membantu mewujudkan sistem penetapan harga elektrik yang lebih stabil dan boleh dijangka untuk pengguna.

Sementara itu, bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, kerajaan juga bersetuju meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 bagi membantu isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Ini memastikan golongan rentan terus mendapat akses kepada keperluan asas elektrik tanpa menanggung beban tambahan.

Ringkasnya, pelaksanaan tarif baharu ini memberi banyak impak positif kepada pengguna. Ia adalah langkah bijak kerajaan untuk mengubah pemikiran rakyat ke arah penggunaan tenaga yang mengutamakan kelestarian dan kecekapan tenaga.

Jadi, sebagai pengguna, inilah masanya untuk kita menjadi lebih bijak, lebih cekap, dan lebih bertanggungjawab dalam menggunakan tenaga.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Muhammad Apendy Issahak.

MAT YUNUS BIN SABRI