fb fb fb fb fb

Anwar bersuara, Putin mendengar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin/Foto FB Anwar Ibrahim

Ulasan Berita

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memilih jalan selamat. Tuduhan yang dijaja secara meluas kononnya Perdana Menteri akan berdiam diri dalam isu MH17 ketika lawatan rasmi ke Rusia ternyata meleset. Dalam kunjungan rasmi kedua itu, beliau bangkitkan isu sensitif yang tidak mudah disentuh kepada Presiden Vladimir Putin.

Tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dengan tentera Ukraine. Luka lama yang masih berbekas dalam ingatan rakyat Malaysia.

Ramai menjangkakan isu ini akan dielak atas nama hubungan baik. Tetapi Perdana Menteri memilih untuk menghadapinya secara berdepan. Satu langkah yang tidak mudah, tetapi berani.

Beliau secara terus dalam pertemuan dengan Putin membangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang memutuskan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh MH17 di Donetsk, pada 2014. Mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Menariknya, respons Putin tidak bersifat defensif. Beliau mendengar dengan teliti, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Putin pada sama menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan, selain isu tersebut tidak dipolitikkan.

Menurut Putin, Kremlin bersedia untuk terlibat dengan organisasi yang dianggapnya tidak berat sebelah. Di sinilah kita melihat kematangan diplomasi Malaysia. Mampu menyuarakan perkara yang sensitif, namun dalam suasana yang memungkinkan perbincangan terus terbuka.

Datuk Seri Anwar tidak menekan, tetapi tidak pula tunduk. Pendekatan ini membolehkan isu MH17 diletakkan dalam konteks keadilan, bukannya retorik geopolitik. Dalam ruang yang sama, kedua-dua pemimpin mencapai kesepakatan untuk memperkukuh lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri menyebut masih banyak potensi yang belum diterokai antara kedua-dua negara. Rusia pula bersedia membuka lebih banyak pintu kerjasama.

Tahun lalu sahaja, jumlah dagangan Malaysia-Rusia mencecah RM11.46 bilion. Menjadikan Rusia rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah. Ini menunjukkan keseriusan Perdana Menteri untuk melonjakkan peranan Malaysia sebagai rakan dagang yang relevan dan berdaya saing.

Lebih menarik, Datuk Seri Anwar menyatakan minat Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Sektor yang kritikal bagi masa depan ekonomi digital. Ia satu langkah ke hadapan yang menandakan kesediaan Malaysia untuk terlibat dalam rantaian nilai global yang lebih kompleks dan berteknologi tinggi.

Dalam suasana geopolitik yang semakin mencabar, keberanian Malaysia membuka ruang dialog dan kerjasama dengan negara kuasa besar, bukti kematangan diplomasi yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar.

Presiden Putin sendiri menganggap Malaysia sebagai “rakan yang dipercayai”. Satu pengiktirafan yang jarang diberikan secara terbuka. Ini merupakan kredit besar kepada dasar luar negara yang digerakkan Datuk Seri Anwar.

Beliau juga menegaskan, Kremlin kekal sebagai rakan baik Kuala Lumpur, dengan hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1967. Banyak rundingan dan memorandum persefahaman telah ditandatangani sejak sekian lama.

Namun kata Perdana Menteri, sudah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin. Dalam semangat itulah, lawatan empat hari ke Rusia itu merangkumi pertemuan bukan hanya di peringkat tertinggi politik, tetapi juga dengan komuniti perniagaan dan ketua industri.

Menyentuh bidang-bidang kritikal seperti digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, nuklear dan pertahananSatu lagi isyarat positif ialah cadangan Datuk Seri Anwar agar syarikat penerbangan Aeroflot memulakan semula laluan penerbangan terus ke Malaysia.

Langkah yang bukan sahaja memperkukuh hubungan pelancongan dan mobiliti rakyat, Malah membuka ruang luas kepada aktiviti perniagaan rentas sempadan.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia sedang berada di kerusi penting. Bukan sekadar sebagai tuan rumah, tetapi sebagai pendamai, pengimbang, dan pembentuk naratif serantau.

Dalam konteks ini, jemputan Datuk Seri Anwar kepada Putin untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur bukan hanya bersifat protocol, tetapi penuh makna strategik. Langkah itu menghantar mesej jelas kepada dunia, bahawa Malaysia komited untuk memastikan ASEAN kekal inklusif dan terbuka kepada dialog.

Ia mencerminkan pendekatan Datuk Seri Anwar yang berpaksikan keterbukaan dan keseimbangan. Satu gaya kepimpinan yang tidak terikat pada permainan kuasa besar. Juga tidak gentar untuk berinteraksi secara langsung dengan semua pihak. Termasuk mereka yang sering dikecualikan dari platform antarabangsa.

Ulasan Berita disediakan oleh Editor Berita RTM, Nur Sharida Shahabuddin.

MAT YUNUS BIN SABRI