ULASAN BERITA
Pejam celik, pejam celik, Oh dah seminggu rupanya Perintah Pemaparan Harga Ubat dikuatkuasakan.. Mungkin ada segelintir yang masih belum dapat terima. Tapi hakikatnya keputusan kerajaan mewajibkan peraturan itu adalah sangat wajar.
Sebab apa? Sebab ia jaga kepentingan rakyat. Dalam masa sama, bantu fasiliti kesihatan swasta tambah baik perkhidmatan, seterusnya meningkatkan kepercayaan pengguna.
Dalam erti kata lain, hak pengguna membuat pilihan dan dapatkan maklumat, diperkasa. Kalau dulu rakyat terutama golongan marhaen, takut-takut nak masuk klinik atau hospital swasta.
Kenapa? Sebabnya, bimbang harga ubat mahal.Selepas terima rawatan, hati pula berdebar menanti bil-bil dikeluarkan. Bila ada Perintah Pemaparan Harga Ubat ini, rakyat lega. Ia bagi ruang kepada mereka untuk buat pilihan. Sesuai dengan kemampuan 'poket' masing-masing.
Secara tersirat, keputusan itu juga memberikan situasi menang-menang kepada pemberi perkhidmatan dan penerima. Pengguna boleh membuat perbandingan terbaik, dan beri mereka kuasa untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang telus. Pembekal pula dapat menjual barangan mereka.
Sebenarnya kita boleh memilih jika tahu harga ubat sebenar. Tindakan bijak KKM dan KPDN amatlah dihargai masyarakat. Apabila harga dinyatakan secara telus, pesakit boleh nilai sama ada kos dikenakan setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan ataupun tidak.
Sudah tentu wujudkan saingan sihat antara fasiliti. Dalam masa sama beri tekanan kepada penyedia perkhidmatan untuk mengekalkan kualiti produk.
Cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia membangunkan portal rasmi atau aplikasi untuk perbandingan harga, satu saranan yang baik. Ia membolehkan paparan harga lebih telus dan mesra pengguna. Penggunaan kod respons pantas (QR) juga boleh digunakan, seiring dengan kemajuan teknologi dan peningkatan penggunaan 5G di Malaysia.
Insentif cukai, promosi kesihatan atau gunakan sistem pemarkahan dan penarafan premis. Mungkin juga boleh berikan insentif kepada klinik atau hospital swasta yang menjayakannya.
Sela keputusan mewajibkan penandaan harga bermula 1 Mei lalu, ada pihak yang mempertikaikannya. Kenapa sekarang? Setelah bertahun-tahun rakyat terutama mereka yang bergantung kepada klinik swasta bagi mendapat rawatan segera, menjadi mangsa kepada ketidaktelusan dalam kos perubatan, khususnya harga ubat.
Tapi kita perlu belajar erti bersyukur. Jika dibandingkan dengan Indonesia. Harga ubatnya lima kali ganda lebih mahal. Di negara jiran itu, kenaikan harga ubat membabitkan jenama terkenal, sedangkan kualitinya sama saja dengan ubat generik.
Tapi apa pun, tidak salah kita pertikai. Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang perlu diamalkan secara bertanggungjawab di Malaysia, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini juga menampakkan betapa prihatinnya kerajaan MADANI terhadap rakyat. Usaha itu mengurangkan rungutan orang ramai mengenai harga ubat yang berbeza-beza secara ketara antara satu premis dengan premis lain.
Langkah ini juga dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan. Ya! Memang perkara itu benar. Media tempatan pernah melaporkan bahawa kesesakan luar biasa di jabatan kecemasan hospital kerajaan, beri impak paling besar kepada pesakit kategori hijau, atau yang berada di zon tidak kritikal. Mereka terpaksa menunggu lebih lama. Berbanding tempoh disasarkan.
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini merupakan Menteri Kesihatan pernah mendedahkan, jumlah pesakit dikendalikan klinik kesihatan jauh melepasi kapasiti. Jadi apa kesannya? Sudah tentu fasiliti dan petugas perubatan awam terbeban.
Tapi kerajaan tidak berdiam diri. Perkasakan komuniti dan tingkatkan kesedaran awam, antara inisiatif atasi kesesakan. Skim Perubatan MADANI turut diperkenal. Sehingga akhir 2023, skim itu merekodkan lebih sejuta lawatan pesakit bagi rawatan sakit-sakit ringan percuma di klinik swasta berdaftar.
Setuju dengan kenyataan CUEPACS. Kongres itu menegaskan dasar pemaparan harga ubatan di premis kesihatan swasta langkah ke hadapan. Benar!. Ia mampu tingkatkan sistem kesihatan negara yang lebih telus, mesra rakyat dan bertanggungjawab.
Ketika kos perubatan semakin meningkat, langkah itu berikan akses rawatan lebih adil dan mampu milik kepada semua lapisan masyarakat. Semua perlu sedar. Dasar itu bukan satu bentuk kawalan harga. Tetapi inisiatif ke arah ketelusan maklumat dan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dijual.
Jadi, kerajaan perlu tegas dan tidak berundur gara-gara tekanan daripada pengamal perubatan dan premis kesihatan swasta. Rakyat perlukan sistem kesihatan swasta adil. Tiada caj terselindung. Kerajaan juga perlu terus beri sokongan terhadap sektor kesihatan.
Terkenang seketika lagu dendangan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Hai, obat, hai, obat, mari beli obat
Kalaulah terlambat tak dapat
Hai, obat, hai, obat, mari beli obat
Kalau salah obat melompat
Ulasa Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Mohd Khairie Khalid.