ULASAN BERITA
Sejarah merakamkan konflik antara golongan pekerja dengan golongan kapitalis dalam sistem ekonomi "laissez faire" di Amerika Syarikat, telah menjadi embrio kepada apa yang kita nikmati hari ini sebagai cuti umum Hari Pekerja.
Jika dahulu pertentangan antara kelas sosial ini kerap dijadikan bahan politik dan tunggangan retorik bagi mendapat sokongan; zaman telah berubah. Letak duduk serta fungsi majikan dan pekerja ketika ini, sangat penting seterusnya membuahkan kerjasama dalam sebuah sistem ekonomi yang menjamin kepentingan dan kesejahteraan pihak-pihak.
Sambutan Hari Pekerja tahun ini yang mengekalkan tema "Pekerja Kesuma Bangsa" adalah tepat, sesuai hala tuju jelas Kementerian Sumber Manusia. Ia dilihat sebagai pengiktirafan kepada seluruh warga pekerja yang menjadi tulang belakang kemajuan negara.
Ia bukan sekadar slogan, malah satu penghargaan simbolik kepada peranan besar pekerja dalam membentuk negara bangsa yang berdaya saing, bersatu padu dan penuh dengan nilai kemanusiaan; selaras kerangka Malaysia Madani yang digagaskan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah menekankan, betapa setiap individu dalam dunia pekerjaan, tidak kira apa jua tugasnya; memainkan peranan yang sama penting dalam kelangsungan sesebuah organisasi dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Umpama satu ekosistem yang saling bergantungan, setiap titik peluh pekerja, membina rantaian nilai yang besar dalam pertumbuhan ekonomi negara. Iltizam kerajaan menjaga kebajikan pekerja melalui pelbagai inisiatif dan dasar progresif; harus dihargai.
Pemerkasaan gaji minimum, peluasan perlindungan sosial, skim keselamatan pekerjaan, serta galakan kepada majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang lebih fleksibel dan seimbang; adalah antara usaha-usaha yang positif.
Inisiatif peningkatan kemahiran atau disebut reskilling & upskilling, serta pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan; juga cerminan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan pekerja sebagai aset negara yang bernilai tinggi, bukan hanya sebagai tenaga buruh.
Dalam konteks ini, majikan wajar memainkan peranan dalam mencipta budaya kerja yang menghargai manusia; termasuk menyediakan suasana kerja yang sihat, selamat, inklusif dan menyokong pertumbuhan kerjaya, bukan sekadar mengejar keuntungan.
Jelas dengan menghormati pekerja tanpa mengira pangkat atau kedudukan, akan lebih mengukuhkan semangat muhibah terutama dalam negara yang mempunyai masyarakat plural seperti di Malaysia.
Pada sisi lain, para pekerja sendiri tidak boleh berpuas hati dengan status quo. Mereka perlu tampil sebagai ejen perubahan dan membangun diri sendiri. Pekerja mesti bersedia memperkukuh empat elemen penting iaitu intelektual, rohani, jasmani dan integriti.
Ilmu dan kemahiran baharu perlu digali secara berterusan, akhlak dan etika kerja perlu dijunjung tinggi, kesihatan fizikal dijaga agar kekal produktif, dan integriti dijadikan tunjang kepada setiap tindakan.
Hubungan dua hala antara majikan dan pekerja bukan sahaja penentu kepada keberkesanan organisasi, malah menjadi asas penting kepada kejayaan sosial dan ekonomi negara. Apabila kebajikan dijaga dan sumbangan dihargai, maka wujudlah masyarakat yang bersatu, harmoni dan sejahtera; sesuai matlamat tertinggi sebuah negara Madani.
Hari Pekerja bukan sekadar meraikan cuti, tetapi menjadi medan muhasabah nasional untuk semua pihak ;kerajaan, majikan dan pekerja untuk menilai peranan masing-masing dalam mencorak masa depan negara.
Dengan sokongan padu terhadap visi Malaysia Madani dan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama, kita mampu membina sebuah negara yang bukan sahaja hebat dari segi ekonomi, tetapi juga teguh dari segi moral, perpaduan dan jiwa bangsanya.
Berpagi-pagi menoreh getah,
Berpeluh jua demi keluarga:
Pekerja tekun nadi amanah,
Penjulang maruah bangsa dan negara.
Jika kesuma itu bunga di taman,
Harus dibaja dan dijaga rapi:
Pekerja harapan nusa dan watan,
Menjadi tunggak negara lestari.
Ulasa Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Iqwan Samsudin.