fb fb fb fb fb

Perlesenan media sosial, pertingkat tahap kawal selia

Foto Hiasan/Reuters

ULASAN BERITA

Mohon lesen sebelum 1 Januari tahun hadapan. Jika gagal, tidak akan dibenarkan beroperasi.

Itu arahan yang dikeluarkan kerajaan terhadap mana-mana penyedia platform media sosial dan pesanan internet dari dalam atau luar negara yang sedang beroperasi ketika ini.

Dikenali sebagai Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), ia bukanlah lesen yang baharu.

Sebaliknya sudah lama wujud, cuma tidak dikuatkuasakan ke atas pengendali media sosial dan pesanan internet.

Jika merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat empat jenis kategori perlesenan yang dikeluarkan agensi tersebut.

Salah satunya adalah lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi, kategori yang diguna pakai terhadap penyedia platform media digital dan pesanan internet.

Perlesenan tersebut bakal menjadi mandatori kepada penyedia platform media digital dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia.

Ramai yang setuju, namun ada juga yang ragu-ragu.

Bimbang jika kebebasan bersuara, privasi dan hak menzahirkan ekspresi diri pengguna mana-mana media sosial tersebut dikawal dan disekat kerajaan.

Ya, mungkin ada benarnya, namun implikasi perlesenan ini dilihat membawa lebih banyak perkara positif, berbanding negatif.

Jelas MCMC, perlesenan tersebut adalah bagi tujuan mengawal, mengekang dan memantau sebarang bentuk perlakuan jenayah media sosial.

Antara yang menjadi fokus adalah buli siber, penipuan dalam talian dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Syarat lesen bukanlah mahu menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya hanya mengawal media sosial.

Jelas, pelaksanaannya adalah bagi tujuan yang sangat baik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, sebelum ini platform media sosial tidak perlu mendaftar bawah mana-mana akta atau perlesenan untuk beroperasi dalam negara.

Kesemuanya dikecualikan daripada keperluan tersebut berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

Bagaimanapun, perkembangan semasa memaksa kerajaan menyemak semula keputusan itu.

Masih ingat, kes seorang pempengaruh di Tiktok yang ditemukan maut, dipercayai menamatkan riwayatnya sendiri kerana tertekan akibat dibuli di media sosial Mei lalu.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk dicari jalan penyelesaiannya.

Kes tersebut antara sebahagian daripada kesan negatif yang berlaku apabila media sosial disalah guna.

Malah, sebelum ini pelbagai isu seperti 3R (agama, bangsa dan raja), fitnah serta penyebaran berita palsu sering mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Pihak berkuasa sentiasa memantau, namun keberkesanannya bagi mengurangkan impak kepada orang ramai masih rendah.

Menurut beberapa kajian, Facebook antara platform media sosial yang memiliki kadar kepatuhan paling tinggi terhadap arahan kerajaan untuk menurunkan mana-mana hantaran sensitif atau mampu menggugat ketenteraman awam.

Platform media sosial selebihnya? Kadar kepatuhan tersebut masih rendah.

Malah, ada sesetengahnya langsung tidak mengendahkan arahan.

Lebih berbahaya, ada aplikasi pesanan internet yang digunakan bagi tujuan penipuan dalam talian dan menjadi lubuk penyebaran berita palsu.

Menerusi perlesenan, kerajaan dapat memantau penyedia platform agar mengawal perkara-perkara negatif daripada terus berleluasa.

Perlesenan platform media sosial bukanlah perkara baharu dalam dunia maya.

Negara-negara luar telah lama melaksanakannya.

Antaranya, Australia, Jerman, India, United Kingdom, Indonesia dan Singapura.

Singapura sebagai contoh memperkenalkan POFMA (Protection From online Flasehoods and Manipulation Act 2019) bagi mengawal penyebaran berita palsu dan perkara-perkara negatif di media sosial.

POFMA diwujudkan lengkap bersama garis panduan dan bentuk kawalan yang jelas terhadap rakyatnya.

Tumpuan kini, bagaimana kerajaan Malaysia akan melaksanakannya.

Pasti segala dokumentasi, terutama berkaitan undang-undang, tatacara, telah dan sedang disediakan agensi-agensi terlibat.

Agar, bentuk kawalan dan garis panduan perlesenanan tersebut dapat dijelaskan kepada orang ramai dengan sebaik-baiknya.

Apa yang pasti, perlesenan bagi pengendali platform media sosial dan pesanan internet ini tidak akan memberi kesan terhadap penggunanya secara langsung.

Sebaliknya, akan memastikan persekitaran media sosial kini lebih selamat untuk semua golongan penggunanya.

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, editor Berita Radio RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM