fb fb fb fb fb

Semakan semula gaji penjawat awam relevan, tepat masanya

Sebahagian penjawat awam pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan April 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada 1 April 2024/Foto Bernama

ULASAN BERITA

Penjawat awam naik gaji lagi? Sebenarnya tidaklah naik berkali-kali pun. Kali terakhir pelarasan gaji golongan itu disemak, adalah 12 tahun dahulu.

Jika diibaratkan sebagai seorang kanak-kanak pada usia tersebut, sudah pun memasuki darjah enam. Jadi, semakan semula gaji kakitangan awam oleh kerajaan hari ini adalah relevan dengan situasi semasa.

Keadaan ekonomi dan desakan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini menambah kepada keperluan semakan tersebut dibuat. Kadar pendapatan perlu seiring dengan kedua-dua faktor tersebut.

Soal kenaikan gaji penjawat awam sebenarnya telah lama diutara, hanya baru-baru ini usaha tersebut dijayakan. Oleh itu, keputusan kerajaan Madani menyemak semula kadar pendapatan penjawat awam, tepat pada masanya.

Kelulusan kenaikan antara 15 hingga 42.7 peratus berbeza-beza, mengikut gred dan jabatan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) antara tertinggi dicatatkan dalam sejarah.

Kaedah kasar SSPA diumum terlebih dahulu, sebelum perinciannya menyusul dalam Belanjawan 2025, Oktober ini. Sebelum ini, pendapatan minimum penjawat awam, iaitu gaji dan elaun tetap kira-kira RM1795.

Selepas pelarasan tersebut, kadar gaji minimum akan melebihi RM2000. Dapatlah penjawat awam; terutama mereka yang berkhidmat di gred rendah menarik nafas lega. Mungkin tidak mewah, namun sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada.

Pujian juga harus diberi kepada Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim; susulan berani dan tegas untuk melakukan transformasi pendapatan dalam kalangan penjawat awam, di kala ekonomi negara baru mengukuh.

Usaha beliau itu wajar disokong sepenuhnya. Penghormatan juga perlu diberi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan warga Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mereka bersama Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, bertungkus lumus mencari jalan bagi memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan. Pelarasan gaji baharu itu bukan hanya memberi manfaat kepada penjawat awam semata-mata, implikasinya akan dirasai seluruh negara.

Kira-kira 1.6 juta penjawat akan memiliki kuasa membeli dan berbelanja yang lebih baik, sekali gus merancakkan kitaran ekonomi negara. Kenaikan tersebut melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Bermula daripada penjaja makanan sehingga pengedar kenderaan, semua akan merasai limpahan kenaikan gaji penjawat awam. Ia bakal menguntungkan sektor automotif kerana penjawat awam akan mempunyai kuasa beli lebih tinggi selain, lebih mudah menerima kelulusan bank.

Kesannya sama seperti inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan yang disalur kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

Perkara tersebut akan memberi kesan langsung di sepanjang rantaian ekonomi dalam negara. Pada masa sama, dapat menangkis impak penarikan pelbagai subsidi yang terpaksa dilakukan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dilakukan atas dasar populis kerajaan yang diteraju Perdana Menteri semata-mata, kerana, ada yang melemparkan tomahan bahawa keputusan kerajaan tersebut tidak berpaksikan realiti semasa.

Datuk Seri Anwar dalam pada itu percaya, lebih banyak perkara positif akan menyusul; sekali gus menyangkal tomahan-tomahan tersebut dengan sendirinya. Malah, segala kecaman yang dilempar dilihat tidak menjadi kudis kepada beliau dan pasukannya.

Apa juga kebaikan buat penjawat awam dan rakyat tetap perlu diteruskan. Objektif utama tindakan kerajaan melaraskan semula pendapatan penjawat awam pastinya bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Selain, merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan tersebut. Penjawat awam telah memainkan peranan penting dalam memastikan negara terus membangun dan maju selama ini.

Kerajaan silih berganti, begitu juga jemaah menteri, namun penjawat awam tetaplah insan yang sama menjalankan tugas-tugas masing-masing secara profesional sehingga menamatkan perkhidmatan kelak.

Untuk itu, pelarasan gaji merupakan bentuk penghargaan dan motivasi terbaik kepada kakitangan kerajaan, agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik dari masa ke masa.

Di pihak kerajaan, kenaikan tersebut perlu dipastikan berdaya tahan dan tidak menjadi kekangan terhadap belanjawan. Kepada penjawat awam pula, manfaatkan 'durian runtuh' kali ini dengan sebaik-baiknya.

'Biarkan orang bertutup upih,
Kita mengukur buah pedada,
Berbelanja kelak usah berlebih,
Bersyukur kita apa yang ada.'

Apa pun, panjatkan kesyukuran atas rezeki yang diterima; serta zahirkan rasa terima kasih, dengan menyampaikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada kerajaan amnya, dan rakyat khususnya.

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI