fb fb fb fb fb

PuTERA35 perlu penyertaan seluruh rakyat

Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 pada 19 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) oleh Kerajaan MADANI/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Satu lagi inisiatif kerajaan dilancar pada 19-OGOS lalu iaitu "Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35)". Serampang dua mata, bukan sahaja bertujuan memartabatkan golongan Bumiputera, tetapi pemacuan ekonomi itu harus dilaksanakan dengan penyertaan seluruh rakyat. Tanpa sedikit pun meminggirkan kepentingan suku atau kaum lain mahupun wilayah di negara ini.

Kata tepatnya -- lebih kepada usaha untuk membangunkan negara tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Meskipun tumpuan, khususnya terarah kepada memacu agenda Bumiputera ke tahap lebih baik, namun memberi manfaat dan impak positif kepada semua.

Dengan jaminan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau sendiri akan memantau pelaksanaan pelan transformasi 10 tahun itu menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya agar berjalan lancar.

Ya, PuTERA35 merupakan pelan bertemakan 'Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera', bertujuan memastikan golongan itu bukan sekadar menjadi peserta atau pengikut semata-mata.

Bahkan penggerak utama ekonomi negara. Menyaksikan ia disokong oleh tiga Teras, 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar yang komprehensif, berani dan berpandangan jauh serta lebih inklusif dalam membawa pembangunan Bumiputera, ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Pelan dengan visi 'Mengangkat Darjat dan Martabat Bumiputera' tersebut antara lain bagi memastikan segenap lapisan masyarakat Bumiputera, mempunyai asas ketahanan kukuh dalam mendepani segala isu dan cabaran mendatang.

Pelaksanaannya meliputi jangka pendek, sederhana dan panjang, dengan perincian mengenai program dan projek bagi setiap ikhtiar akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana berkaitan serta diselaraskan oleh kementerian yang dikenal pasti.

Selain itu, PuTERA35 yang bersifat lebih inklusif PERLU dipastikan keberkesanan serta keberhasilannya. Memandangkan Kerajaan Perpaduan komited memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

Komitmen itu, seperti yang diberi penekanan berulang kali, semestinya sama sekali tidak akan menafikan hak kaum lain. Sebaliknya mampu memberi impak bermanfaat kepada seluruh rakyat dalam aspek kemajuan negara.

Tidak dinafikan, masih terdapat pelbagai isu yang membelenggu Bumiputera ketika ini. Antaranya seperti status sosioekonomi yang masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana; serta penyertaan Bumiputera yang tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah, dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera juga belum tercapai sepenuhnya. Selain keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal -- terutama syarikat pemula.

Setakat 2022, daripada 945 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, hanya tujuh peratus, iaitu 62 mewakili syarikat Bumiputera. Sehubungan itu, PuTERA35 boleh disifatkan sebagai jalan penambahbaikan kepada program sedia ada dan langkah memperkenalkannya berupaya meluaskan lagi sudut pandang.

Mengambil kira penguasaan ekonomi, tata kelola serta aspek pembasmian kemiskinan tegar. Bagaimanapun, perkara yang perlu dititikberatkan adalah kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, dan Kerajaan Negeri, selain pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri serta syarikat pelaburan kerajaan.

PuTERA35 tentunya direncanakan demi membolehkan rakyat Malaysia keseluruhannya menikmati kehidupan lebih berkualiti. Tidak kira India, Cina, apatah lagi suku kaum Bumiputera -- sama ada masyarakat Orang Asli atau penduduk di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, pengusaha Bumiputera digalakkan agar merebut peluang keemasan meningkatkan daya saing. Lebih-lebih lagi dalam sektor berpotensi pertumbuhan dan bernilai tinggi ke arah permulaan lonjakan ke peringkat global.

Dalam hal ini, apa kata cuba ambil peluang dan kesempatan rentetan kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India mulai 19 hingga 21 Ogos lalu, yang membawa hasil signifikan bagi Malaysia.

Menyaksikan antara pencapaian utama termasuk meraih potensi perdagangan bernilai RM8 bilion; dan komitmen pelaburan RM4.5 bilion dari syarikat-syarikat di India.

BAk kata perdana Menteri, "masih ada banyak ruang untuk Bumiputera bangkit supaya dapat bersaing"; Bukan sahaja antara kaum di negara ini -- tetapi apa yang lebih penting, mantap di pentas dunia".

Apapun, berbekalkan komitmen tinggi, integriti dan tegas, diharap tiada pihak yang 'menangguk di air keruh' dalam menguruskan agenda Bumiputera. Elakkan penyelewengan, ketirisan dan pembaziran berulang, sekali gus memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan impak optimum.

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI