ULASAN BERITA
Sudah 67 tahun Malaysia merdeka. Namun, adakah kita semua faham apa erti kemerdekaan yang sebenar? Kemerdekaan yang diperjuangkan nenek moyang kita.
Barang kali, pengertian sebenar merdeka, mungkin lebih difahami dengan mendalam oleh mereka.. kerana nenek moyang kita yang berkorban, menanggung perih jerih, menentang penjajah demi sebuah kemerdekaan.
Alangkah bertuahnya kita di zaman ini, tidak perlu berdepan saat-saat menakutkan, atau merasai penyeksaan dan kesukaran, ketika bawah pemerintahan negara asing, bergelar penjajah.
Syukur! Tapi, sejauh mana kita menzahirkan kesyukuran atas kemerdekaan yang diperoleh. Kalau kita tanya generasi muda, atau anak-anak -- apa yang mereka tahu pasal merdeka, Agak-agak apa jawapan mereka?
Saban tahun, setiap kali bulan kemerdekaan, akan ada individu terjah generasi muda untuk bertanyakan soalan trivia berkaitan kemerdekaan. Mungkin bagi segelintir pihak, nampak lucu apabila mereka memberi jawapan salah.
Tetapi tidak kepada yang berjiwa patriotik. Amat menyedihkan. Soalan semudah berapa tahun kita telah merdeka pun sukar untuk mendapat jawapan yang betul. Belum lagi ditanya bunga kebangsaan kita, atau nama bendera kita, ataupun siapakah Bapa Kemerdekaan kita?
Kalau ditanya kepada 10 orang, barang kali hanya tiga atau empat orang yang dapat memberikan jawapan dengan tepat. Selebihnya...faham-faham sendiri.
Kesimpulan yang dapat dibuat, bagi majoriti generasi muda, maksud merdeka adalah bebas daripada penjajah. Sedangkan pengertiannya jauh lebih mendalam. Saban tahun, laungan "MERDEKA!" dilaungkan dengan penuh semangat. Sayangnya, ia hanya meniti di bibir, tetapi tidak dihayati dari dasarnya.
Risau dengan golongan muda sekarang. Sewajarnya mereka perlu lebih menghayati dan menyayangi kedaulatan negara yang merdeka. Lihat sahaja, di seluruh dunia. Ada negara yang masih terpalit dalam peperangan dengan tujuan mencari kemerdekaan dan kebebasan dari taklukan penjajah.
Cuba letak diri kita dalam kasut mereka. Dek sudah biasa hidup aman damai, belum tentu cukup kuat untuk berjuang seperti mereka. Hakikatnya, jika sukar menuntut sebuah kemerdekaan, sukar lagi untuk mengisinya. Kerana apa? Kerana merdeka amat berkait rapat dengan perpaduan.
Kebelakangan ini pula, perbuatan menyentuh isu sensitif 3R, iaitu kaum, agama dan raja dilihat semakin menjadi-jadi, berpunca daripada tindakan segelintir anggota masyarakat kita sendiri yang cuba mencetuskan pelbagai provokasi dan kontroversi, sehingga membangkitkan rasa marah dan tidak puas hati sebahagian anggota masyarakat lain.
Ada sahaja yang cuba bermain api apabila menyentuh isu-isu sensitif. Jika tidak dibendung, boleh membawa kepada perpecahan kaum, dan tidak mustahil ada pihak yang akan cuba "menangguk di air yang keruhâ.
Akibatnya mulalah berlaku pertelagahan, terutamanya dalam platform media sosial dengan saling tuduh-menuduh dan menuding jari. Seolah-olah tiada rasa perlu menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak.
Seperti mana seorang pemimpin sebuah parti yang mengeluarkan kenyataan sehingga membangkitkan kemurkaan pihak Istana. Sedangkan kita ketahui bahawa Malaysia terbentuk dan bercirikan kepelbagaian, sama ada dari segi kaum, bahasa, budaya dan agama.
Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan 2024, iaitu "Malaysia Madani, Jiwa Merdeka", seharusnya, kita menolak sikap prejudis, stereotaip, suka mensensasikan isu sensitif, menyebar fitnah, meraikan konflik dan mengganggu ketenteraman awam.
Perpaduan tidak boleh berpandukan kepentingan politik kepartian. Sebaliknya, lahir daripada keserasian masing-masing yang bersedia berkorban dan mempertahankan negara.
Takrifan Malaysia Madani sendiri bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban. Malaysia Madani tidak dipasakkan atas kepentingan dan peranan satu bangsa, budaya, agama sahaja.
Oleh itu, budaya toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain perlu disuburkan dalam masyarakat. Penting untuk kita ambil iktibar dan belajar dari generasi terdahulu yang sanggup bertolak ansur, ketepikan segala ego serta kepentingan peribadi dan kaum masing-masing.
Semata-mata mahu membuktikan kepada penjajah bahawa kita mampu bersatu hati dan bersedia untuk merdeka.
Esok 31 Ogos. Selamat menyambut hari kebangsaan yang ke-67 buat negaraku, Malaysia tercinta. Semoga negara terus aman dan makmur. Rakyatnya kekal bersatu padu.
Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, editor Berita Radio RTM.