fb fb fb fb fb

PMX ke Rusia, serlah kesungguhan Malaysia sertai BRICS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada acara kemuncak Sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF 2024) di Vladivostok pada 5 September 2024, Rusia/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Semalam, berakhir sudah lawatan kerja dua hari PMX ke Rusia. Ia lawatan sulung beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Kunjungan rasmi itu sudah pasti menarik dan dinanti-nantikan semua pihak. Terutama, dalam usaha Malaysia menyertai BRICS. Bahkan, Datuk Seri Anwar sendiri sifatkan lawatan kerjanya ke negara kuasa veto itu amat penting dan istimewa.

Selain memperkukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang dalam pelbagai bidang baharu. Kunjungan itu juga bagi mengulangi pendirian dan hasrat Malaysia untuk menjadi anggota BRICS.

Sebelum ini, pendirian sama dinyatakan PMX semasa mengadakan lawatan ke China dan India, selaku negara anggota. Namun, kali ini, bertemu sendiri Pengerusi BRICS iaitu Rusia. Sekali gus membuktikan betapa Malaysia begitu berminat menyertai blok ekonomi yang sedang pesat membangun itu.

Benar, perkara tersebut antara yang disentuh PMX semasa berucap menyampaikan ucaptama pada sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) di Vladivostok. Beliau diberi penghormatan menyampaikan ucapan di hadapan Presiden, Vladimir Putin, serta komuniti pelaburan utama Rusia dan global.

Menurut PMX, penyertaan dalam BRICS akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada ekonomi kumpulan negara Selatan Global. Dalam masa sama, berkongsi kepakarannya. Ia disebabkan kedudukan negara sebagai hab semikonduktor di rantau Asia Tenggara.

BRICS juga akan memastikan amalan perdagangan adil dikekalkan. Serta, infrastruktur kewangan antarabangsa tidak dimonopoli mana-mana pihak. Malah, menyertai BRICS akan mempelbagaikan lagi ekonomi dan kepentingan strategik negara.

Seterusnya, membantu Malaysia mempelbagaikan lagi perdagangan dan pelaburannya. Selain, meningkatkan akses negara kepada pasaran yang lebih luas. Pendek kata, kerjasama dengan kesatuan negara Selatan Global, sangat menguntungkan. Kepentingannya bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia. Tetapi Selatan Global serta seluruh dunia, umumnya.

Hasil perbincangan dengan Putin, perkara yang diberi perhatian adalah sama ada Malaysia menjadi ahli BRICS dengan segera, atau bermula sebagai rakan blok negara terbabit.

Selari dengan hasrat itu, PMX turut diundang Putin untuk hadir dalam sidang kemuncak BRICS di Kazan Rusia, pada 22 hingga 24 Oktober depan. Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat utama Malaysia menyertai kumpulan tersebut. Pastinya, penyertaan Malaysia dalam BRICS bakal membuka lembaran baharu dalam kerjasama ekonomi global.

Secara kumulatif, KDNK negara anggota BRICS berjumlah 26.6 trilion dolar iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia. Hampir menyamai kekuatan ekonomi negara anggota kumpulan G-Seven. Bagaikan serampang dua mata, lawatan itu juga mengetengahkan kecemerlangan Malaysia dalam bidang, terutama, kewangan Islam.

Kata PMX, kewangan Islam adalah bidang yang sesuai untuk kerjasama bagi kedua-dua negara kerana Malaysia memiliki ekosistem institusi teguh yang bukan sahaja mematuhi prinsip Syariah, tetapi juga memacu inovasi dalam instrumen kewangan.

Untuk itu, Rusia boleh memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam. Ya, Rusia, dengan populasi Islam yang ramai, mempunyai potensi besar dalam bidang tersebut.

Pengenalan perbankan Islam di Rusia akan dapat memudahkan projek bersama dan menarik pelaburan besar daripada Malaysia. Peluang turut diambil dalam lawatan itu dengan menyatakan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Ke arah itu, Malaysia akan pastikan rantau ASEAN mempunyai kerjasama dan hubungan bilateral yang lebih baik dengan Rusia. Perkongsian ASEAN-Rusia adalah penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan, dan pertukaran budaya di seluruh rantau.

Sememangnya, hubungan Malaysia-Rusia telah berkembang sejak 1967 apabila hubungan diplomatik telah terjalin sejak era Soviet Union. Kunjungan PMX ke Rusia merupakan keseinambungan lawatan pemimpin-pemimpin terdahulu. Sekali gus menandakan persabahatan yang semakin erat terjalin antara Kuala Lumpur dengan Moscow.

Mudah-mudahan hubungan kedua-dua negara dan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS membawa manfaat bersama demi kesejahteraan rakyat jelata. Ibarat duduk seorang bersempit-sempit, duduk bersama berlapang-lapang.

Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI