fb fb fb fb fb

Hentikan polemik tarikh merdeka

Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Apa khabar penerima bantuan tunai Budi Madani? Semalam harga runcit diesel turun 15 sen lagi kepada RM3.01 sen seliter, selepas turun dua sen minggu lepas.

Semakin jelas, penyasaran subsidi diesel tidak bermakna harga pasti naik berterusan. Sejak harga diapungkan pada 10 Jun, harga runcit ditetapkan mengikut harga pasaran. Naik...naik, turun...turun. Nampaknya pada masa ini pasaran global menunjukkan trend menurun.

Namun kita perlu sedar, penurunan harga runcit di Malaysia bukan sahaja disebabkan penurunan harga minyak mentah dunia. Tetapi juga berikutan pengukuhan nilai Ringgit.

Bagi penerima Budi Madani, walaupun harga runcit diturunkan, bantuan tunai kekal RM200 sebulan. Hmm...untunglah. Orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Semoga nilai ringgit terus mengukuh.

Kisah harga diesel sekadar pembuka bicara. Sekarang kita beralih kepada topik sebenar Ulasan Berita Minggu ini, Hari Malaysia. Tiga hari lagi negara akan menyambut ulang tahun ke-61 pembentukan Persekutuan Malaysia.

Namum polemik mengenai kemerdekaan negara masih wujud dalam kalangan segelintir anggota masyarakat. Difahamkan, tarikh 31 Ogos membawa pengertian berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Isu yang dibahaskan, 31 Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Namun ketika itu Sabah dan Sarawak masih berada bawah jajahan British. Mereka menolak tarikh 31 Ogos 1957 sebagai Hari Kemerdekaan negara.

Ini memandangkan Sabah mencapai kemerdekaan selepas British menyerahkan secara rasmi pentadbirannya kepada pemimpin tempatan pada 31 Ogos 1963. Manakala Sarawak dikatakan mencapai kemerdekaan pada 22 Julai, tahun yang sama. Iaitu kira-kira enam tahun selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Bagaimanapun tarikh 22 Julai disangkal pakar sejarah Sarawak sendiri. Menurut beliau, penjajah British masih berkuasa di Bumi Kenyalang hingga 15 September 1963. 22 Julai sebenarnya tarikh Sarawak mencapai status negara 'berkerajaan sendiri', bukan kemerdekaan. Pemimpin tempatan masih terikat dengan arahan dan perintah daripada kuasa penjajah.

Dalam pada itu ada ahli akademik mendakwa, 31 Ogos dan 22 Julai bukan tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Tarikh sebenar menurut beliau adalah 16 September 1963, iaitu dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Apa pun tafsiran sejarah yang berbeza, sewajarnya kita hormati dan raikan pandangan masing-masing. Hakikatnya Hari Sarawak mula disambut secara rasmi pada 2016, manakala Hari Sabah buat julung kalinya disambut tahun ini, serentak dengan Hari Kebangsaan.

Menurut Ketua Menteri, sambutan Hari Sabah pada tarikh sama dengan Hari Kebangsaan, diharap menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang. Beliau juga berharap, tiada kekeliruan timbul berkenaan dua sambutan itu.

Hari Sabah adalah penting bagi memperingati Sabah bebas daripada pemerintahan British. Ia juga mendandakan titik permulaan Negeri Di Bawah Bayu untuk bersama membentuk Malaysia.Seperti teguran Premier Sarawak, tarikh-tarikh ini tidak harus dipolemikkan lagi. Yang sudah, sudahlah.

Lebih penting, tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat, agar rakyat negara ini dapat terus memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara. Dengan semangat ‘Segulai Sejalai’, rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung dan kepada negara.

Sama seperti menghormati tarikh 16 September yang amat penting kepada bukan sahaja rakyat di Sabah dan Sarawak, tetapi juga kepada negara keseluruhannya. Seluruh rakyat harus terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut, sehingga mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara.

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan Hari Kemerdekaan, tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015. Ini menunjukkan semangat integrasi wilayah yang tulen dan saling memahami antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Gagah mematuk ayam serama,
Sambil memagut daun pegaga,
Perpaduan dipupuk sekian lama,
Jangan dikeruh air telaga.

Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI