ULASAN BERITA
24 November ini, genap dua tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, dengan yakin melafazkan ikrar untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu rakyat Malaysia, termasuklah menangani kenaikan kos sara hidup, dan menegaskan komitmen terhadap tata kelola baik serta penentangan terhadap rasuah.
Terbukti, pada tahun pertama sahaja menyaksikan kepimpinan beliau menerajui negara terserlah, mengotakan apa yang dikata. Menyaksikan satu demi satu langkah progresif diambil oleh Datuk Seri Anwar dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi cabaran di peringkat dalam negara dan global.
Paling menarik perhatian -- penolakan gaji Perdana Menteri dan pemotongan gaji 20 peratus bagi jemaah menteri. Bukti kesediaan mereka untuk berkongsi beban kesulitan ekonomi dengan rakyat. Rentetan itu, beliau terus mengorak langkah, tidak hirau cakap-cakap belakang yang hanya akan menguburkan matlamat, menggelapkan masa depan negara. "Jalan terus" bak kata orang sekarang!
Pastinya, tidak perlu setahun pun. Datuk Seri Anwar dalam tempoh kira-kira dua bulan selepas menerajui kepimpinan kerajaan perpaduan, mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali 'Membangun Malaysia Madani'. Khusus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara. Dengan Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyat berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.
Semestinya, bukan tugas mudah dalam mewujudkan negara yang maju dari segi ekonomi dan budaya. Namun, beliau dan barisan kabinetnya terus melangkah ke hadapan dalam membawa kemajuan signifikan bagi manfaat rakyat dan negara.
Antara lain, pemberian subsidi bersasar yang disifatkan sebagai langkah tidak popular. Tetapi hasilnya berkesan dalam menangani isu-isu semasa. Tidak dilupakan, kepekaan beliau dalam hal ehwal pemberian bantuan kepada rakyat yang terkesan kenaikan kos sara hidup pasca COVID-19.
Ini apabila kerajaan pentadbirannya segera mewujudkan inisiatif seperti Payung Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) -- yang telah memberikan bantuan langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar. Sumbangan Tunai Rahmah turut dinaikkan sebanyak 25 peratus, memberi manfaat kepada 60 peratus penduduk dewasa. Tidak ketinggalan, Bantuan Awal Persekolahan.
Selain itu, pelaksanaan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat serta beberapa dasar baharu yang diperkenal pada 2023 turut mula membuahkan hasil sejak awal tahun ini. Nah... dalam tempoh 18 bulan pula -- pelbagai inisiatif, program dan dasar baharu diperkenalkan untuk mengatasi dua masalah struktural; seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Strategik Semikonduktor, Ikhtiar Ekonomi MADANI, Kajian Separuh Penggal RMK-12 dan Pelan Tindakan KL20.
Ternyata, agenda reformasi yang dilaksanakan Kerajaan Madani adalah tekad politik untuk membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik. Kerajaan yang lahir hasil perjuangan Datuk Seri Anwar lebih 20 tahun lalu.
Seperti yang pernah beliau suarakan tentang erti reformasi itu sendiri. "Ini yang dikatakan reform. Dalam erti kata apa manfaat kepada golongan miskin, pekerja ladang, nelayan, pekebun kecil melayu, india di estet, penjawat awam, ini yang mesti disampaikan dan ini memerlukan reform.” (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Mengimbas kembali tarikh keramat 20 September 1998... tercetusnya gerakan reformasi, detik penting dalam landskap politik negara. Menyaksikan sosok tubuh yang melalui liku politik yang agak luar biasa; dari pemecatan, pemenjaraan, melakukan gerakan reformasi. Dipenjara jasad, tetapi tidak jiwa dan pemikirannya; lantas berjaya menghimpunkan lebih 100 ribu orang untuk memperkukuh suara rakyat dalam mencorak kepimpinan agar lebih adil, dan telus.
Dalam hal ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berpendapat; adalah menjadi satu titik penting bukan sahaja bagi memperingati perjuangan lebih dua dekad Perdana Menteri, malah untuk membangunkan negara.
“Menyediakan juga ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka. kita akan sediakan satu tempat untuk mereka menulis kepada perdana menteri harapan mereka. aspirasi mereka ke depan ini bagaimana. kerana kita tahu pada bulan oktober, 18 oktober. perdana menteri oktober bentang akan belanjawan. sudah pastilah input-input seperti ini akan memberikan suatu pandangan yang terus dari akar umbi.” (Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin).
Hari ini, akan berlangsungnya Himpunan KEADILAN Suara Rakyat Suara Keramat, yang mengangkat tema "DARI REFORMASI KE MALAYSIA MADANI"; Sekali gus menjadi momen penting untuk menyuburkan kembali ikrar yang dilaungkan sejak 26 tahun lalu.
Program yang bertempat di Stadium Axiata Bukit Jalil itu juga dijangka bakal menghimpunkan lebih 20,000 peserta. Tumpuan utama, pastinya terarah kepada aspirasi Perdana Menteri, dalam mereformasi negara ke peringkat lebih tinggi.
Sesungguhnya, kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, tidak lain tidak bukan -- bertunjangkan pencarian titik persamaan antara komponen parti Kerajaan Perpaduan. Memastikan negara dibina berteraskan perlembagaan; diikat dengan Rukun Negara yang melibatkan semua etnik dan wilayah yang dinamakan Malaysia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacob, editor Berita Radio RTM.