fb fb fb fb fb

Hentikan sikap taasub melampau

Foto hiasan/RTM

ULASAN BERITA

Sejak kebelakangan ini, frasa 'penunggang agama' semakin kerap digunakan secara meluas oleh masyarakat, termasuk netizen.

Pada umumnya penunggang agama difahamkan sebagai, mereka yang menyalahgunakan atau membuat tafsiran agama untuk meraih keuntungan diri dan kelompok.

Baik keuntungan dari segi kebendaan, kesenangan mahupun kedudukan. Keadaan bertambah buruk apabila agama dipesongkan bagi mencapai hajat peribadi.

Lazimnya mereka ini didukung oleh pengikut-pengikut setia yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi sang pemimpin.

Di mata pengikut, pemimpin mereka merupakan 'insan pilihan' kiriman Tuhan. Sehingga terjebak memperjuangkan ajaran sesat dan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan.

Spesies ini bagaimanapun bukan khusus dalam kalangan penganut Islam. Sejarah menunjukkan ia juga membabitkan penganut agama lain.

Contohnya di Korea Selatan, terdapat kultus ajaran sesat yang mengajak pengikutnya supaya tidak menghiraukan ancaman virus COVID-19. Mereka percaya pengasas ajaran Shincheonjin, Lee Man-hee merupakan individu terpilih yang bakal dilantik sebagai Isa al-Masih.

Shincheonjin bermaksud 'langit dan bumi baharu'. Sama seperti kebanyakan ajaran sesat lain, ajaran itu berselindung di sebalik agama samawi - dalam kes ini agama Kristian.

Lee kononnya mempunyai kuasa istimewa untuk membawa pengikutnya ke syurga pada hari kiamat. Ajaran itu dilaporkan berjaya menarik kira-kira 230 ribu pengikut termasuk di beberapa negara luar.

Mereka antara lain diajar supaya tidak takutkan virus. Malah tidak seorang pun dibenarkan memakai penutup hidung dan mulut setiap kali menghadiri upacara ritual. Akibatnya lebih separuh daripada kes COVID yang dilaporkan di Korea Selatan ketika itu terdiri daripada pengikut Shincheonji.

Bahkan, seorang pengikut wanita berusia 61 tahun, dikenal pasti sebagai penyebar utama atau 'super spreader' virus maut itu. Ketika diminta menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan mereka, Lee mendakwa dia tidak boleh melakukannya kerana dunia belum kiamat.

Dia sebaliknya menuduh syaitan menyebarkan virus bagi menghalang ajaran Shincheonji terus berkembang. Para pengikut pula begitu patuh kepada perintah supaya menyembunyikan identiti mereka, dan tidak mengikut arahan kerajaan berkaitan langkah kawalan COVID-19.

Ramai terkejut apabila Lee dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan melanggar undang-undang kawalan virus, iaitu gagal melaporkan bilangan sebenar pengikut dan lokasi gereja Shincheonji kepada kerajaan, ketika jangkitan COVID-19 merebak dengan cepat dalam kalangan pengikut.

Dia bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menggelapkan 5.6 bilion Won atau 4.7 juta Dolar daripada dana gereja, dan menghalang tugas awam.

Sekian lama menunggang agama, akhirnya pecah tembelang. Mangsanya mestilah pengikut yang mengangkat Lee sebagai pemimpin ulung. Sikap taasub menjadikan mereka buta.

Di Malaysia, pemimpin pergerakan atau ajaran yang telah difatwakan sesat berkongsi beberapa ciri dengan Shincheonji, Seperti mengaku dilantik sebagai penyelamat umat manusia, dan mendakwa memiliki kunci syurga.

Di Malaysia, lebih 150 ajaran difatwakan sebagai sesat sejak tahun 1950. Antaranya ajaran Millah Abraham yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam. Fatwa diwartakan pada 17 September 2015.

Ajaran ini menggelar mereka yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham sebagai sesat, kafir dan syirik. Mereka wajib bertaubat dengan ajaran Millah Abraham. Pengikut diwajibkan membuat perakuan sumpah setia kepada pemimpin.

Selain itu ajaran Ayah Pin diwartakan sesat pada 26 Oktober 1997. Menurut ajaran ini syair memuji-muji nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan solat. Pengikutnya yakin, nyawa manusia yang ada di atas muka bumi duduk di tangannya kerana dia memegang segala kunci akhirat.

Pada Ogos 1994, al-Arqam difatwakan sebagai sesat dan diharamkan kerana mengamalkan wirid Aurad Muhammadiyah yang menyeleweng. Meskipun terdapat perisytiharan taubat daripada kumpulan itu, fatwa yang pernah diputuskan tidak pernah ditarik balik.

Ini memandangkan masih ada saki baki pengikutnya dipercayai mengamalkan ajaran yang diharamkan.

Daripada tiga contoh ini, taasub melampau kepada guru atau ketua ajaran, jelas merupakan faktor utama berkembangnya ajaran seumpama itu. Hakikatnya, mereka bukan sahaja menunggang agama, tetapi juga menunggang kesetiaan pengikut.

Tanpa sokongan meluas, tidak mungkin harimau mengeluarkan kuku untuk menerkam mangsa. "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui."

Ulasan berita ini diterbtikan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom.

MAT YUNUS BIN SABRI