fb fb fb fb fb

Majlis Keselamatan rimba?

Kesan serangan udara Israel pada 2 Oktober 2024 di kawasan kejiranan selatan Beirut, Iran/Foto AFP

ULASAN BERITA

Tindakan Iran melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa lepas meningkatkan kebimbangan. "Perang dingin" yang telah berlarutan sejak sekian lama, bakal menunjukkan wajah hodohnya untuk tatapan dunia.

Serangan itu yang kedua dalam tempoh kira-kira enam bulan. Jika dalam serangan 13 April, Iran menggunakan dron dan peluru berpandu berteknologi lama, kali ini peluru berpandu hipersonik Fattah yang canggih dilancarkan bersama peluru berpandu balistik Ghadr dan Emad.

Sebagai perbandingan, dalam serangan April, peluru berpandu balistik yang digunakan mengambil masa 12 minit untuk sampai ke Israel. Peluru berpandu jelajah pula mengambil masa dua jam manakala dron, kira-kira sembilan jam.

Bagaimanapun dengan kelajuan hipersonik, peluru berpandu Fattah hanya memerlukan sekitar 70 hingga 90 saat untuk sampai ke Tel Aviv Jelas sekali, Iran telah mula menggunakan senjata yang mempunyai keupayaan jauh lebih tinggi.

Walaupun media Barat yang pro-Israel melaporkan bahawa serangan itu gagal sama sekali dan sejumlah besar peluru berpandu berjaya ditangkis, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menerusi media tempatan mengumumkan, peluru berpandu Fattah, Ghadr dan Emad berjaya melepasi sistem pertahanan Israel, termasuk Arrow dan Iron Dome yang dicanang-canang sebagai kebal.

Malahan 90 peratus daripadanya mengenai beberapa pangkalan tentera dan infrastruktur kritikal pertahanan di Tel Aviv. Menurut IRGC, tiada premis awam atau kawasan kediaman disasarkan.

Begitulah perang media. Yang itu lapor begitu, yang ini lapor begini. Sarat dengan agenda masing-masing. Apatah lagi dengan kepesatan tekonologi AI dan deepfake. Mr Bean pun fasih berbahasa Melayu.

Menurut Presiden Iran Masoud Pezeshkian, serangan itu adalah tindak balas tegas terhadap keganasan melampau dan pencerobohan Israel. Terutama pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah dan komander IRGC, Abbas Nilforoushan minggu lalu di Beirut, serta pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin di Tehran, Julai lalu.

Tegas beliau, walaupun Iran tidak berhasrat mencetuskan peperangan, ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman. Israel seperti biasa tanpa segan silu, meneruskan rutin berlagak suci. Iran diberi amaran keras, bakal dipaksa membayar dengan harga yang tinggi.

Amerika Syarikat pula berikrar akan terus memberikan sokongan penuh kepada rejim penjajah itu. Katanya kedua-dua pihak sedang membincangkan tindakan balas terhadap Iran.

Sepanjang tahun lalu, pakar geopolitik memberi amaran bahawa Asia Barat berada di ambang perang serantau. Jangkaan itu berlatarbelakangkan perang Israel dengan trio 3H yang merupakan sekutu rapat Iran. Hamas di Gaza, Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman.

Walaupun berhadapan musuh tiga penjuru, Israel tidak sendirian. Bantuan berterusan kewangan berbilion Dolar dan ketenteraan yang disalurkan oleh kuasa besar terutama Amerika Syarikat, menjadikannya semakin angkuh dan bongkak.

Lihat sahaja Perhimpunan Agung PBB ke-79 baru-baru ini. Ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu diboikot semua negara yang menyokong Resolusi Palestin berpandukan keputusan ICJ dan Majlis Keselamatan.

Laporan media menyebut, Netanyahu dalam ucapannya tidak langsung menyentuh isu Palestin. Dia sebaliknya memperkecilkan peranan PBB dan agensi-agensi PBB. Seolah-olah PBB tidak ada sebarang peranan.

Netanyahu dengan bangganya membuat pengakuan Israel kini berdepan dengan tujuh peperangan. Kononnya kuat dan hebat. Padahal rejim apartheid itu sangat bergantung pada kuasa veto yang dipegang Amerika Syarikat selaku anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Kalau tidak, dah lama ke dalam.

Isu penyalahgunaan kuasa veto telah lama dibangkitkan. Malaysia antara yang paling terkehadapan dalam mendesak supaya kuasa penentu itu dihapuskan. Majlis Keselamatan terbukti gagal mencapai matlamatnya menangani krisis global. Contohnya dunia hari ini menyaksikan empat peperangan besar serentak di Palestin, Sudan, Syria dan Ukraine.

Resolusi gencatan senjata pun ditolaknya. Tanpa kuasa veto, tidak ada kuasa besar boleh melindungi mana-mana penjenayah perang. Kaedah pemberian kuasa veto sebenarnya tidak mencerminkan nilai masyarakat bertamadun.

Kelima-lima anggota tetap Majlis Keselamatan dipilih daripada kuasa besar yang menang dalam Perang Dunia Kedua. Ala-ala undang-undang rimba. Pihak yang kuat jadi penentu segala keputusan, tak kira sama ada betul atau salah. Yang lain hanya dengar dan patuh.

Wahai pemimpin-pemimpin dunia, bertindaklah sebelum terlambat.

Ulasan berita ini diterbtikan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom.

MAT YUNUS BIN SABRI