ULASAN BERITA
Malaysia sekali lagi akan mengambil alih tampuk kepengerusian Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), daripada Laos tahun hadapan. Negara sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan kali terakhir pada 2015.
Penyerahan 'baton' pengerusi itu dilakukan hari ini - sejurus selesai Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Vientiane. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerajui ASEAN. Pada masa sama, mengetengahkan idea menarik untuk dilaksanakan Kuala Lumpur sebagai pemimpin persatuan itu kelak.
Ia bukanlah retorik semata-mata.. sebaliknya, sebagai sebuah negara yang pernah digelar sebagai Harimau Asia, pelbagai strategi dan pelan telah dirancang bagi menjayakannya. Malaysia memfokus kepada tiga perkara utama, iaitu; mengukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama kawal selia; mengukuhkan asas negara anggota, memperbaharu, menyusun semula dan menyelaraskan ekonomi serta, memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Datuk Seri Anwar dalam pada itu memaklumkan, negara akan memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat di seluruh 10 negara anggota persatuan berkenaan. Antaranya, dengan memperkukuh rangka kerja keselamatan siber, meningkatkan kerjasama serantau berkaitan ancaman digital; dan mengekalkan pertumbuhan rancak ekonomi digital dalam rantau ini.
Jelas beliau, usaha tersebut akan meletakkan ASEAN sebagai sebuah wilayah ekonomi digital yang terpadu. Menyorot kembali sejarah penubuhan ASEAN, ia terbentuk daripada Persatuan Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961.
Pada waktu itu, ASA hanya dianggotai - Filipina, Malaysia dan Thailand. Namun, dikembangkan kepada ASEAN menerusi keanggotaan LAPAN lagi negara Asia Tenggara; dan, Timur Leste sebagai negara pemerhati dan kini sedang dalam permohonan untuk menyertai ASEAN. Malaysia, menurut Perdana Menteri akan membantu mempercepatkan keanggotaan Timur Leste.
Antara tujuan pewujudan ASEAN adalah bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan. Selanjutnya, mempertingkat ketahanan serantau - dengan menggalakkan kerjasama politik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya yang lebih erat.
Oleh demikian, penumpuan ke atas ekonomi digital yang diangkat Kuala Lumpur adalah berikutan perdagangan antara ASEAN kekal rendah sejak beberapa dekad lalu. Walaupun, Asia Tenggara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat pesat.
Datuk Seri Anwar dalam pada itu percaya, terdapat potensi yang besar untuk menambah baik usaha tersebut. Terutama, menerusi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan ditandatangani tahun hadapan.
Jelas beliau lagi, adalah penting untuk ASEAN mengkaji dan memperluas kerjasama ekonomi perkumpulan itu melangkaui sempadan rantau ini. Sebagai peneraju, Malaysia percaya jika hala tuju tersebut diteruskan dengan tekad dan komitmen.
ASEAN dapat mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan berada di landasan yang tepat untuk menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. Tambahan, ketika dunia sedang berdepan dengan ketidakpastian ekonomi global susulan konflik, ketegangan dan geopolitik di Asia Barat contohnya, usaha memperkukuh ekonomi di peringkat Asia yang lebih meluas perlu terus dipergiat.
Mengambil kira hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialog, antaranya Jepun dan Korea Selatan. Bahkan, ASEAN juga merupakan rakan penting kepada New Zealand, dan kelebihan tersebut boleh diambil kira untuk meningkatkan kepentingan ekonomi dan maknusiawi.
Untuk itu, negara anggota dilihat perlu memastikan kebersamaan pemimpin dan dasar berkecuali yang kuat, agar cabaran tersebut dapat diatasi.
Sementara itu, persiapan di peringkat negara, semua kementerian telah diarah untuk melakukan persiapan yang mantap dan menyeluruh. Ia bagi membolehkan Kuala Lumpur dapat melaksanakan tugas kepengerusian ASEAN dengan lebih berkesan.
Tiga kluster utama diwujudkan, iaitu politik, pertahanan dan kewarganegaraan bawah Kementerian Luar. Manakala, ekonomi dan perdagangan bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta budaya dan sosial bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Kementerian lain pula akan diletak bawah pimpinan kluster terbabit dalam merencana dan menjayakan apa jua program atau aktiviti anjuran ASEAN yang dipengerusikan Malaysia. Termasuk, aspek tema, reka bentuk logo, logistik serta penginapan untuk pemimpin negara bagi program tersebut.
Peralihan kepengerusian ini sememangnya ditunggu-tunggu Malaysia, agar negara dapat memainkan peranannya dalam meneraju dan meningkatkan kedudukan ASEAN ke tahap yang lebih tinggi. Moga, segala yang dirancang dapat dilaksana dengan jayanya, agar legasi kepemimpinan negara menerajui ASEAN sebelum ini dapat terus dipertahan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, editor Berita Radio RTM.