fb fb fb fb fb

Jaguh Asia: Malaysia pada landasan betul

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat tinjauan di Pejabat Kementerian Kewangan, sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2025/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Tahun 2024 semakin menghampiri selekoh akhir. Hari ini tibalah masa untuk pembentangan Belanjawan 2025, yang disebut-sebut sebagai belanjawan yang dinantikan rakyat. Peruntukan kali ini dijangka lebih besar, selaras dengan pertumbuhan ekonomi.

Sementara menantikan pembentangan petang nanti, ada baiknya kita tinjau secara ringkas pencapaian Belanjawan 2024. Adakah perancangan yang dibentang pada Oktober tahun lalu berjaya mencapai sasaran, atau sebaliknya.

Bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat', Belanjawan 2024 memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan asas ekonomi, dan memastikan kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

RM393.8 bilion diperuntukkan bagi Belanjawan MADANI kedua ini. Daripada jumlah itu RM303.8 bilion disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, manakala RM90 bilion lagi bagi perbelanjaan pembangunan. Selebihnya RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Bagi suku pertama 2024, Malaysia merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus iaitu melebihi unjuran 3.9 peratus. Trend ini diteruskan pada suku kedua dengan pertumbuhan 5.9 peratus, melebihi jangkaan 5.8 peratus.

Mungkin ada pihak yang mendakwa perbezaan 0.1 peratus bukan pencapaian yang boleh dibanggakan. Di sini kita seharusnya turut sama melihat prestasi negara jiran seperti Singapura yang mencatat pertumbuhan 2.9 peratus dan Thailand 2.3 peratus.

Perbezaannya adalah "antara hampir mencecah enam peratus, dengan tidak sampai tiga peratus". Ini menunjukkan bahawa selepas kejatuhan teruk disebabkan beberapa siri PKP berterusan yang melelahkan pada era pandemik,

Ekonomi negara kita berjaya diletakkan pada landasan yang betul, sehingga memaksa Bank Dunia membuat semakan semula; menaikkan unjuran pertumbuhan 2024 daripada 4.3 peratus, kepada 4.9 peratus. Hampir lima peratus.

Jika saudara masih ingat, tiga tumpuan utama digariskan bawah Belanjawan 2024 untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai jaguh Asia. Pertama - memastikan tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan. Kedua - penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan ketiga - meningkatkan darjat hidup rakyat. Ke arah itu 12 ikhtiar utama disenaraikan.

Dalam banyak-banyak insentif dilaksanakan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dilihat sebagai yang paling memberi manfaat, secara langsung kepada rakyat. Langkah menaikkan kadar maksimum bantuan STR daripada RM3,100 kepada RM3,700 memberi kelegaan.

Kadar minimum bagi golongan belia juga dinaikkan, daripada RM350 kepada RM500. Selain itu pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas daripada 200 ribu penerima kepada 700 ribu. Manakala tempoh bayaran bulanan sebanyak RM100, dipanjangkan daripada enam bulan kepada 12 bulan. Bantuan Awal Persekolahan pula ditambah daripada RM100 kepada RM150. Ia diberi kepada semua murid tanpa mengira tahap pendapatan keluarga.

Pastinya, bantuan-bantuan langsung ini antara yang menjadi tumpuan rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2025. Besar harapan mereka bantuan yang dinikmati dapat diteruskan. Malah tidak sedikit yang mengharapkan jumlah bantuan ditambah lagi.

Jika ditinjau laporan media dan kandungan media sosial, macam-macam telahan dan harapan disuarakan pelbagai pihak. Daripada orang perseorangan dan jabatan kerajaan, sehinggalah sektor swasta dan NGO. Selain bantuan langsung dan subsidi, harapan mereka juga melibatkan peruntukan, cukai dan pertambahan fasiliti. Masing-masing mengharapkan manfaat daripada Belanjawan 2025.

Sebagai bayangan awal, Perdana Menteri memberi jaminan, Belanjawan 2025 akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak. Menurut beliau belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada isu inflasi dan kenaikan gaji. Perinciannya boleh diikuti dalam pembentangan yang dijadualkan bermula 4.00 petang ini.

Ekonomi negara yang semakin kukuh telah meletakkan Malaysia antara yang terbaik di ASEAN. Semoga momentum ini berterusan ke arah memenuhi aspirasi menjadi antara yang terbaik di Asia. "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera".

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI