ULASAN BERITA
Belanjawan 2025 sudah dibentangkan Jumat lepas. Namun cakap-cakap mengenainya masih lagi kedengaran sehingga kini. Ramai memuji belanjawan itu yang disifatkan berfikiran ke depan.
Penekanannya lebih kepada penstrukturan semula ekonomi jangka panjang. Berpaksikan agenda reformasi Malaysia Madani, Belanjawan 2025 memberi tumpuan kepada beberapa perkara. Termasuk bantuan pendidikan, peningkatan gaji minimun, kenaikan STR, penyasaran subsidi petrol RON95 dan pengembangan PMKS.
Ke semua insiatif itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat. Sekali gus merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar. Yang jelas, Belanjawan 2025 menyaksikan pelbagai manfaat terus diberikan kepada golongan sasar.
Dalam masa sama, menghidupkan semula ekonomi, mendorong perubahan bermakna dan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Malaysia.
Banyak manfaat diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025. Antara yang menarik perhatian ialah Wakaf Madani. Menurut PMX, inisiatif Wakaf Madani akan terus diperkasa dengan penglibatan meluas agensi-agensi kerajaan.
Salah satunya, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan). Sebanyak RM300 juta diperuntukkan KWAP untuk pembangunan tanah wakaf. Bagi membina rumah persaraan warga emas berpendapatan rendah.
UDA Holdings Berhad pula dengan dana RM200 juta akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik di atas tanah wakaf. Manakala LPPSA akan menyediakan dana untuk penjawat awam yang membeli rumah di atas tanah wakaf.
Begitu juga dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). Mereka akan menjamin pinjaman pembeli rumah pertama bernilai hingga RM500 ribu yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
Dalam soal pelaburan pula, 22 ribu orang pemegang unit ASNB telah mewakafkan pelaburan mereka sebanyak 73 juta unit. Hasil daripada pelaburan itu akan disalurkan ke projek wakaf demi kemaslahatan ummah.
Nampak tak? Begitu wakaf ini menjadi antara fokus utama Kerajaan Madani, kerana PMX percaya yang wakaf boleh membangunkan ummah dan negara.
Aspirasi Kerajaan supaya instrumen wakaf dapat menyumbang 20 peratus dalam pengembangan sektor kewangan sosial Islam, menjelang 2030. Melaluinya, aset terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan akan dioptimumkan.
Bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain. Wakaf Madani juga merupakan usaha kerajaan membangunkan tanah wakaf berdaftar dengan kerjasama pihak swasta.
Bagi tujuan tersebut, aset-aset wakaf bernilai lebih RM1 billion akan digunakan sepenuhnya bagi manfaat golongan sasar. Bahkan, wakaf dimanfaatkan untuk semua kaum. Tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Islam semata-mata.
Kalau dilihat, peruntukan Belanjawan untuk sektor pendidikan dan kesihatan sentiasa meningkat dan diberikan keutamaan. Tetapi bayangkan, kalau segala aset seperti wakaf digunakan untuk tujuan itu.
Jadi, kerajaan tidak perlu berbelanja lebih, kerana, ia ditampung pihak lain baik swasta, badan korporat mahupun individu perseorangan. Misalnya, sebuah bangunan diwakafkan untuk sebuah hospital.
Maka, belanja pembangunan kerajaan untuk pembinaan hospital sudah tidak perlu. Kalau dulu, Belanjawan 2024, sebanyak RM90 bilion untuk belanja pembangunan. Namun sekarang, menurun kepada RM86 bilion.
Dengan pengurangan ini, adakah bermakna kerajaan tidak lagi akan membangunkan infrastruktur atau kemudahan awam pada masa akan datang? Jawapannya, tidak sama sekali.
Pembangunan tetap akan diteruskan dengan jumlah tertentu, tetapi perbelanjaannya dapat dijimatkan melalui konsep berwakaf. Ini yang ditekankan Kerajaan Madani.
Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 baru-baru ini turut menyaksikan konsep wakaf telah diangkat menjadi salah satu pendekatan bagi memperkasa ekonomi bumiputera.
Untuk itu, Tabung Wakaf MARA Madani diwujudkan, menyasarkan jumlah terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. Alumni MARA sudah pun mencecah lebih 2.5 juta orang.
Mereka boleh memberi serta memulangkan semula sumbangan dalam bentuk wakaf, dan ini boleh dimanfaatkan untuk generasi akan datang. Dalam Islam, wakaf tidak menyebabkan harta seseorang itu berkurang.
Akan tetapi, disebabkan amalan wakaf dan sedekah yang dibuat, mereka akan beroleh keberkatan hidup dan limpahan rezeki daripada Allah SWT.
Yang pasti, amalan berwakaf dapat menjana pahala berterusan kepada si pewakaf walaupun selepas kematiannya.
Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin, editor Berita Radio RTM.