ULASAN BERITA
Tahniah! Satu lagi kes pecah amanah berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kali ini melibatkan baja subsidi.
Terkini, SPRM dilaporkan membongkar satu kegiatan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi dalam pertubuhan pertanian. Difahamkan ia membabitkan kontrak bernilai 1.8 bilion ringgit selama 30 bulan.
Dapat pula kepada syarikat tak aktif selama lapan tahun. Dilaporkan, syarikat itu berpangkalan di Singapura; dan dikatakan mendapat kontrak kira-kira RM60 juta secara runding terus pada 2022.
Perdana Menteri juga pernah berkata, amalan lama babitkan kartel import baja perlu dihentikan. Ia perlukan tekad politik, bermakna kerajaan Madani tidak berdiam diri.
Dalam Belanjawan 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Fasa 1, akan dimulakan, dengan kos RM1 bilion, melibatkan keluasan hampir 11,000 hektar.
Ia mampu tingkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus, selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sehingga 43 peratus. Projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka, juga akan dimulakan.
Agenda reformasi juga dirangka untuk sektor padi dan beras negara. Melaluinya ada pengasingan kuasa, penggabungan penguat kuasa dan peraturan baharu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pernah berkata, langkah pertama adalah pemantapan tatakelola. Bermakna, pengasingan kuasa akan dilaksanakan secepat mungkin, dengan gabungan semua penguat kuasa daripada tujuh agensi bawah KPKM.
Kawasan berpotensi dibangunkan sebagai jelapang padi di Sabah dan Sarawak juga sedang diteroka. Tanpa tujuan lain, hanya bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.
Sebagai rakyat sudah tentu kita mahu melihat hasil daripada reformasi pada masa depan. Apa yang baik, kita sokong.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras KPKM, Datuk Azman Mahmood menyatakan yang isu kartel baja dan benih sebenarnya lebih menyeluruh.
Mereka mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Dengan modus operandi, mendapatkan subsidi daripada kerajaan bagi baja dan benih padi yang dikeluarkan. Itu belum lagi ditambah untung hasil jualan pada harga lebih tinggi.
Sudah terang lagi bersuluh, kartel kaut untung di situ. Secara matematiknya, sawah padi di Malaysia perlukan 240,000 tan baja setahun. Jumlah itu bagi menampung keperluan 200,000 pesawah, dengan subsidi kerajaan sekitar RMM500 juta.
Secara keseluruhan sektor pertanian, termasuk hasil komoditi, sekitar 4.9 juta tan metrik baja setahun diperlukan.
Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan UPM , Prof Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad pula berpendapat, perlunya import baja dan input dibuat berlandaskan data kerana lazimnya petani dan pengguna menjadi mangsa kartel.
Sedar tak sedar, strategi kartel membunuh industri. Seperti mana terjadi terhadap sektor kelapa, kopi, koko, tebu dan ubi kayu. Harga terlalu rendah. Kurangkan pendapatan petani. Hingga memaksa mereka keluar mencari perusahaan memberi lebih pulangan.
Monopoli membantutkan pertumbuhan industri. Seperti terjadi kepada industri padi dan beras di Malaysia, Indonesia dan Bangladesh. Pernah tak kita terfikir kesusahan, kepayahan mereka?
Menyingkap pandangan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, pengerusinya, Abdul Rashid Yob menggesa pembaharuan dalam institusi peladang.
Menerusi reformasi pelbagai peringkat, dengan cadangan mewujudkan model baharu berkaitan pengagihan dan pembekalan baja. Tujuannya, memberikan keadilan buat pesawah.
Pun begitu, isu ini tak akan selesai jika masih ada 'orang dalam'. Maka benarlah penegasan dibuat PMX. Usaha perkasakan rakyat, bantu golongan memerlukan... Tidak akan jatuhkan kerajaan.
Sebaliknya punca utama adalah rasuah, penyelewengan, dan tamak haloba dalam kalangan pihak diberi amanah.
Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, editor Berita Radio RTM.