fb fb fb fb fb

Menghitung derita Gaza

Foto Hiasan / AFP

SAUDARA PENGARANG

Gaza, sebuah wilayah yang sekian lama berdepan dengan penindasan dan kemusnahan, sekali lagi menjadi saksi kepada tragedi kemanusiaan yang mengerikan. Dalam bayangan peperangan yang tidak berkesudahan, angka-angka berikut mendedahkan skala sebenar penderitaan rakyat Palestin, menyaksikan lebih 47,000 nyawa terkorban, 1.9 juta kehilangan tempat tinggal manakala 85,000 tan bahan letupan digugurkan.

Angka itu bukan sekadar statistik, tetapi cerminan kisah manusia, kehilangan keluarga, rumah, dan harapan. Laporan dari pelbagai organisasi antarabangsa mengesahkan bahawa situasi di Gaza bukan sahaja melibatkan kemusnahan akibat perang, tetapi juga menunjukkan pemusnahan bangsa secara sistematik atau lebih tepat, satu bentuk genosid.

Selain kemusnahan fizikal, peperangan itu juga membawa impak ekonomi yang sangat memburukkan keadaan Gaza, menjadikan wilayah itu hampir mustahil untuk dipulihkan dalam jangka masa terdekat. Masyarakat antarabangsa kini berdepan tanggungjawab moral untuk menghentikan penderitaan tersebut dan memastikan keadilan untuk rakyat Palestin.

Implikasi ekonomi kehilangan manusia

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNOCHA) melaporkan lebih 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh akibat konflik yang berterusan. Sebahagian besar mangsa adalah orang awam, termasuk puluhan ribu wanita dan kanak-kanak. Kehilangan tersebut bukan sahaja merobek fabrik sosial masyarakat Palestin, tetapi turut melumpuhkan struktur ekonomi Gaza, menjadikan pemulihan semakin sukar.

Satu kajian dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, menunjukkan bahawa kematian tidak langsung akibat konflik, malah disebabkan gangguan perkhidmatan kesihatan, kekurangan makanan, dan kemusnahan infrastruktur yang boleh mencecah tiga hingga 15 kali ganda jumlah kematian langsung.

Berdasarkan anggaran konservatif, dengan tiga kematian tidak langsung bagi setiap kematian langsung, angka 47,000 kematian yang dilaporkan boleh membawa kepada 141,000 kematian tambahan akibat konflik itu.

Sebagai perbandingan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bahawa populasi Putrajaya pada tahun 2024 adalah 120,300 orang. Ini bermakna keseluruhan Putrajaya boleh lenyap dalam tempoh hanya 15 bulan, gambaran yang jelas tentang skala kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza.

Dari sudut ekonomi, kehilangan setiap individu yang terkorban mengakibatkan kesan mendalam kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, dan pembinaan, sekali gus merencatkan sebarang usaha pemulihan.

Kos ketersingkiran besar-besaran

Skala ketersingkiran di Gaza kini berada pada tahap luar biasa. Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hampir 90 peratus daripada populasi Gaza, bersamaan dengan 1.9 juta orang telah kehilangan kediaman mereka.

Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, jumlah itu menyamai keseluruhan populasi negeri Kelantan. Bayangkan setiap rakyat Kelantan di 11 jajahan terpaksa meninggalkan rumah mereka, menjadi pelarian di tanah sendiri, tanpa akses kepada pendapatan dan keperluan asas. Tragedi itu bukan sekadar memusnahkan struktur kehidupan, tetapi juga merenggut rasa aman dan masa depan mereka.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kos untuk menyara keluarga yang telah disingkirkan adalah amat tinggi. Sebagai contoh, pemberian bantuan makanan sahaja dianggarkan menelan belanja USD 50 juta (RM 234 juta) sebulan.

Kanak-kanak di Gaza adalah antara golongan paling terkesan. Mereka bukan sahaja kehilangan peluang pendidikan, tetapi juga berdepan dengan trauma yang memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan mental dan perkembangan intelektual mereka.

Tidak seperti zon konflik lain, penduduk Gaza tidak mempunyai laluan selamat untuk melarikan diri ke negara jiran. Sekatan berterusan itu diklasifikasikan oleh Amnesty International sebagai "hukuman kolektif", tindakan menghukum seluruh populasi atas perbuatan yang didakwa dilakukan oleh segelintir individu. Suatu tindakan yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga mencabuli prinsip asas hak asasi manusia.

Sekatan itu telah mencipta halangan ekonomi yang menyekat perdagangan, bantuan kemanusiaan dan bekalan bahan binaan. Tanpa akses kepada laluan selamat, keluarga yang disingkirkan tidak mempunyai pilihan selain bertahan dalam keadaan yang saban hari semakin buruk. Masyarakat antarabangsa perlu segera mengambil tindakan bagi menghentikan krisis kemanusiaan yang sedang melanda Gaza.

Harga sebuah pembinaan semula

Sejak Oktober 2023, lebih 85,000 tan bahan letupan telah digugurkan di Gaza, menurut laporan B’Tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia Israel.

Jumlah itu adalah 21 peratus lebih tinggi daripada 70,000 tan bom yang dijatuhkan oleh Tentera Bersekutu dalam kempen Pasifik Perang Dunia Kedua, salah satu konflik paling dahsyat dalam sejarah moden. Kesan daripada serangan udara yang dahsyat itu bukan sahaja mengorbankan puluhan ribu nyawa, tetapi juga memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNOCHA), lebih dua pertiga atau 66 peratus daripada infrastruktur Gaza telah rosak atau musnah sama sekali. Kemusnahan itu melibatkan rumah, sekolah, hospital dan kemudahan air. Kos pembinaan semula dianggarkan melebihi AS$50 bilion (RM 234 bilion), menurut UNRWA.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, telah berulang kali menggesa penamatan sekatan ke atas Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan, bahan binaan dan pemulihan infrastruktur. Sementara itu, Presiden Bank Dunia, Ajay Banga menekankan bahawa pemulihan jangka panjang memerlukan sumber dari sektor awam dan swasta, penglibatan antarabangsa dan sokongan ekonomi bagi membangunkan semula Gaza.

Justeru, komuniti global perlu bersatu dan bertindak segera dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera, menuntut kebertanggungjawaban atas kekejaman yang berlaku dan mendesak Israel melalui tekanan diplomatik, ekonomi, dan undang-undang antarabangsa. Tujuan utama adalah untuk mengembalikan autonomi kepada rakyat Gaza, agar mereka dapat membina semula kehidupan dan masa depan mereka dengan bermaruah.

Individu juga memainkan peranan penting dalam usaha tersebut. Kita boleh menyebarkan maklumat yang sahih dan berkongsi kisah-kisah sebenar untuk meningkatkan kesedaran serta memerangi penyebaran maklumat palsu.

Selain itu, kita boleh menyokong organisasi kemanusiaan yang sedang berusaha tanpa henti di lapangan untuk memberikan bantuan segera. Tindakan kecil di peringkat individu ini boleh membawa perubahan besar. Jangan biarkan krisis ini menjadi satu lagi bab gelap dalam sejarah kemanusiaan dan masa untuk bertindak adalah sekarang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MOHD ZAIDI MD ZABRI
Dr. Mohd Zaidi Md Zabri
Pengarah Interim, Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi
Ekonomi Islam (i-RISE), Institut ISRA
INCEIF Universiti

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN