fb fb fb fb fb

10 cabaran belia Madani, tangkas, berani

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Perjuangan melestarikan kemerdekaan negara harus diperjuangkan. Mengingatkan kita kepada detik-detik perjuangan para pahlawan negara yang tidak pernah mengalpakan janji untuk terus memperjuangkan negara bangsa. Menjanjikan kepada rakyat Malaysia hari ini erti kemakmuran sekiranya nilai-nilai penyatuan bangsa tersemat dalam sanubari kita.

Nilai perpaduan rakyat teruji apabila perjuangan memburu kemerdekaan sekali lagi apabila kita terpaksa bertarung dengan pelbagai isu yang menggamit kehidupan anak-anak muda hari ini seperti cabaran menghadapi kos sara hidup yang tinggi, kekurangan penawaran pekerjaan dan tidak terkecuali menghadapi pasca wabak COVID-19 yang masih berluasa di negara ini.

Perjuangan merempuh perjalanan kehidupan yang mencabar ini memerlukan satu pengorbanan teguh semua rakyat negara ini bersatu hati prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti kita menghadapi dugaan-dugaan ini.

Bagi golongan warga muda atau belia, perjuangan menghadapi "peperangan kos sara hidup" ini memerlukan satu pengorbanan besar, lebih-lebih lagi dianggarkan 30% daripada mereka telah kehilangan pekerjaan, terpaksa menanggung implikasi akibat kegawatan ekonomi.

Segulung ijazah dari menara gading belum pasti akan menjamin pekerjaan anak-anak muda sekarang sekiranya mereka tidak mempunyai pengalaman kerja atau berkemahiran tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa suara belia diperkasakan apabila golongan belia bakal diberi ruang yang lebih luas untuk menerajui politik, memimpin masyarakat dan bebas menyuarakan pandangan mereka dalam Kerajaan.

Tidak terkecuali sebelum itu, kita menyaksikan golongan belia ampuh apabila mereka diangkat menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, GLC dan organisasi swasta. Sepanjang PRU15, kita dapat menyaksikan bagaimana rakyat kerajaan mengiktiraf peranan belia untuk memimpin kawasan-kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta menganggotai kabinet Madani.

Ini menunjukkan bahawa belia hari ini sudah matang untuk menentukan halatuju kehidupan mereka untuk menyubur dan menyalurkan bakti kepada rakyat dan negara dengan cara yang tersendiri.

Justeru, golongan belia di negara ini harus bangkit menanamkan keyakinan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berkhidmat dan menyumbang bakti kepada negara bangsa mahupun di peringkat antarabangsa.

Sepuluh cabaran utama yang saya nyatakan di bawah ini adalah keutamaan untuk memperkasakan golongan belia untuk terus lebih maju memacu halatuju dan masa depan negara dan generasi kita pada masa akan datang.

Cabaran pertama ialah memupuk semangat patriotisme, kesetiaan dan kecintaan kepada negara. Belia perlu bersatu hati membina satu kefahaman yang meluas untuk memakmurkan kesejahteraan rakyat menerusi penghayatan terhadap Rukun Negara yang merupakan teras pembinaan warga negara Malaysia.

Usaha Kerajaan Madani untuk menghidupkan program patriotik belia seperti PLKN sudah pasti akan membenihkan semangat patriotisme dalam kalangan belia, terutamanya meneladani dasar kebangsaan dan memacu mereka kefahaman erti sebenar sistem, sejarah dan kedudukan politik negara untuk dihayati dan dijelmakan di peti-peti undi pada PRU akan datang.

Cabaran kedua ialah mencipta dan membangunkan budaya kepemimpinan yang berteraskan sifat tanggungjawab, peduli dan menghayati kebebasan yang dinikmati tanpa berperasangka sesama mereka yang disebabkan oleh terlalu taksub dengan dunia materialisme hari ini. Belia seharusnya lebih vokal menyuarakan hak-hak kemanusiaan sejagat yang mengancam keamanan dan kesejahteraan dunia hari ini.

Perjuangan mereka yang boleh dijelmakan menerusi saluran media sosial sudah pasti akan membuka mata para pemimpin dunia untuk mengambil kira cetusan pandangan,persepsi dan protes belia terhadap kemalaratan peperangan,pemerdagangan manusia,kezaliman dan sebagainya.

Cabaran ketiga ialah menyemarakkan semangat juang, berdikari dan mampu bersaing sesama mereka dengan mengukuhkan imej dan identiti positif baru belia untuk menguasai cabaran mendatang.

Sementara itu, cabaran keempat ialah belia harus bangkit membina platform terbaik untuk membolehkan mereka mendekati kerja-kerja kesukarelawanan sebagai balasan menyumbang bakti kepada negara.In ia kan meningkatkan tahap prihatin dan patriotisme belia kepada warga negaranya.

Cabaran kelima pula ialah kerajaan menerusi agensi-agensinya perlu menyediakan lebih banyak strategi untuk membolehkan belia mengimbangi tuntutan globalisasi dan perubahan teknologi drastik dengan penguasaan ilmu yang tinggi.

Belia harus berupaya untuk menterjemah keperluan teknologi hari ini dengan tuntutan sosial supaya apa yang mereka sumbangkan nanti dapat memenuhi wawasan negara untuk generasi hari ini dan akan datang.

Cabaran keenam ialah belia perlu mengutamakan institusi keagamaan,kekeluargaan dan komuniti sebagai teras pendorong peradaban kelangsungan hidup. Keutuhan institusi kemasyarakatan ini akan menjadi tunggak kekuatan belia memelihara peradaban dan ketamadunan negara bangsa.

Cabaran ketujuh yang harus diutamakan golongan belia hari ini ialah membina penyatuan dinamik menerusi penglibatan mereka dalam pertubuhan-pertubuhan sosial menerusi pemupukan semangat kerja yang produktif,progresif dan cemerlang.Ini boleh memupuk semangat belia untuk merancakkan bidang kesukarelawanan sosial untuk merangsang semangat jati diri belia menghadapi pelbagai cabaran di hadapan.

Sementara itu pula cabaran kelapan ialah melahirkan belia Malaysia sebagai agen perhubungan komunikasi di pentas global menerusi penyertaan mereka dalam bidang-bidang profesional dan kesukanan. Keterlibatan serius belia di pentas global akan membolehkan lebih banyak keadilan sosial dapat ditegakkan dan mengharum nama negara di persada antara bangsa.

Cabaran sembilan pula ialah memastikan golongan belia berperanan memelihara warisan budaya,bangsa dan negara dengan menyemarakkan budaya ilmu dan ketamadunan bangsa kepada mereka tanpa mengira kaum. Literasi belia terhadap tamadun warisan negara bangsa akan mendorong mereka sifat kecintaan kepada negara, memujuk perasaan penyatuan dan perpaduan bangsa,akhirnya melahirkan masyarakat Madani yang unggul dan disegani.

Akhir sekali cabaran kesepuluh ialah menjana peranan kerajaan dan masyarakat membentuk suasana kondusif dengan menyokong menyediakan kemahiran teknologi dan meningkatkan profesionalisme dalam jurusan-jurusan kerjaya yang diceburi.

Belia harus dibimbing menjadi para tekno-usahawan yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat dunia bagi melestarikan kedupan mereka mwndepani cabaran-cabaran dan konflik yang mendatang.

Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu ujian besar buat belia kita.Sekiranya masyarakat bersedia memahami dan menyokong peranan belia dalam mewarnai kehidupan di negara ini,sudah tentu kita akan berbangga mencipta anak-anak warisan yang menyumbang kepada kemartabatan bangsa dan kemakmuran negara.

PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI