SAUDARA PENGARANG
Kemeriahan sambutan hari raya semakin berubah mengikut peredaran zaman. Sebelum era digital, perayaan ini diraikan dengan penuh tradisi – pulang ke kampung halaman, membeli juadah, menyiapkan pakaian baharu, serta menghias rumah.
Salah satu keunikan hari raya dahulu adalah hiasan rumah yang dipenuhi kad ucapan yang diterima daripada keluarga dan sahabat.
Kad-kad ini ditampal di dinding, diletakkan pada pokok hiasan, atau dijadikan ketupat gantung sebagai simbol kemesraan.
Namun, zaman berubah. Kad raya kini menjadi sekadar memori, seiring dengan perkembangan teknologi yang mengubah cara generasi muda, khususnya Gen Z, menyambut hari raya.
Hari Raya dalam Lensa Digital
Jika dahulu album foto menjadi arkib kenangan keluarga, kini media sosial mengambil alih peranan itu.
Gen Z lebih cenderung berkongsi pengalaman hari raya melalui Instagram Stories, TikTok, dan vlog YouTube, menjadikan perayaan lebih interaktif dan bersifat global.
Mereka mendokumentasikan sambutan dengan filter kreatif, cabaran video, dan trend digital, mencipta arkib kenangan yang boleh ditonton semula berulang kali.
Namun, timbul persoalan: adakah ini benar-benar untuk menyimpan memori budaya, atau sekadar memenuhi kehendak pengikut di media sosial?
Kandungan digital yang dihasilkan sering kali tidak memberi kedekatan emosi yang sama seperti kenangan tradisional.
Lebih parah, jika ia hanya dibuat untuk tontonan semata-mata, maka sambutan Hari Raya kehilangan nilai sentimentalnya bagi generasi muda.
Ucapan Raya: Dari Kad Fizikal ke Pesanan Digital
Suatu ketika dahulu, kad ucapan hari raya menjadi penghubung silaturahim. Setiap kad membawa doa, harapan, dan permohonan maaf yang tulus dari hati.
Namun, kini ucapan lebih ringkas melalui WhatsApp, Instagram, atau kad digital yang dihiasi GIF dan emoji.
Lebih membimbangkan, ringkasan yang terlalu ekstrem seperti "SHRMZB" (Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin) atau "Mat Ri Ye" (Selamat Hari Raya) boleh menghilangkan makna sebenar ucapan, selain menjejaskan penggunaan bahasa yang betul.
Duit Raya: Dari Sampul ke E-Wallet
Duit raya juga mengalami transformasi. Jika dahulu kanak-kanak teruja menerima duit raya dalam sampul berwarna-warni, kini ramai ibu bapa memilih untuk memberi e-duit raya melalui e-wallet atau perbankan dalam talian.
Walaupun lebih praktikal, persoalannya – adakah ia menghilangkan keterujaan dan nilai sentimental Hari Raya? Tanpa interaksi fizikal antara pemberi dan penerima, tradisi ini mungkin kehilangan sentuhan keakraban yang pernah menjadi detik istimewa setiap tahun.
Budaya 'Post First, Enjoy Later'
Teknologi juga membentuk gaya hidup dan sikap generasi muda terhadap perayaan.
Budaya "post first, enjoy later" semakin ketara, di mana ramai yang lebih fokus mengambil gambar makanan atau OOTD (outfit of the day) sebelum benar-benar menikmati suasana raya.
Keghairahan mengumpul 'likes' dan 'views' kadangkala mengalihkan perhatian daripada momen sebenar bersama keluarga.
Namun, tidak semuanya negatif. Gen Z juga lebih kreatif dalam menghidupkan semangat raya melalui tutorial memasak, kisah nostalgia, dan kempen kebajikan yang lebih mudah disebarkan melalui media sosial.
Nostalgia dan Masa Depan Tradisi Raya
Hari Raya kini bukan lagi sekadar berbaju indah, membuat konten tarian lagu raya atau mengikuti cabaran media sosial.
Ia seharusnya lebih daripada itu – satu bentuk penghayatan terhadap nilai tradisi dan warisan budaya.
Gen Z perlu proaktif dalam memahami keunikan sambutan raya tradisional.
Persoalan yang perlu difikirkan: mampukah trend video TikTok menggantikan kenangan berbual panjang bersama keluarga? Dan adakah digitalisasi mampu menyimpan kenangan dengan lebih bermakna?
Pada akhirnya, warisan hari raya bukan hanya tentang jumlah 'likes' atau 'views', tetapi tentang pengalaman yang dikongsi bersama orang tersayang.
Sama ada dalam bentuk vlog moden atau gambar Polaroid, yang paling penting ialah bagaimana kita dapat mengekalkan makna perayaan ini untuk generasi masa depan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Hani Salwah Yaakup
Penyelidik
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS),
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Emel: