SAUDARA PENGARANG
Setiap kali tibanya Ramadan, media sosial dibanjiri dengan pelbagai kandungan berkaitan ibadah. Ada yang berkongsi video solat tarawih di masjid, gambar tangan menadah doa sambil memegang tasbih, atau status panjang berkaitan amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan yang mulia ini, malah ada pula disusuli dengan hastag (#).
Fenomena ini menimbulkan satu persoalan yang perlu direnungkan: adakah kita benar- benar beribadah kerana Allah, atau kita lebih teruja untuk menunjukkannya di media sosial? Adakah niat kita semata-mata untuk mendapatkan pahala, atau tanpa sedar, kita mencari perhatian dan pengiktirafan manusia?
Di era digital dan perkembangan platform media sosial ini, berkongsi perkara baik bukanlah satu kesalahan. Malah, ada yang berpendapat bahawa perbuatan ini boleh menjadi motivasi kepada orang lain untuk turut melakukan kebaikan. Namun, tanpa kita sedari, niat yang asalnya suci boleh berubah menjadi riak tersembunyi.
Implikasi tanpa sedar
Bayangkan seorang lelaki yang bersedekah RM100 kepada fakir miskin, lalu dia memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen, “Alhamdulillah, dapat berkongsi rezeki hari ini.” Tidak lama selepas itu, dia menerima banyak komen dan tanda suka. Tanpa sedar atau mungkin sedar, hatinya mula seronok dengan pujian manusia, lebih daripada mencari reda Allah. Inilah cabaran terbesar dalam beribadah di zaman moden: mengekalkan keikhlasan tanpa terjerumus ke dalam perangkap media sosial.
Islam menitikberatkan keikhlasan dalam setiap amalan. Allah berfirman dalam surah Al-Insan ayat 9; yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu kerana Allah menghendakinya, kami tidak menghendaki balasan dan tidak pula (ucapan) terima kasih daripadamu." Ayat ini jelas menunjukkan bahawa amal ibadah haruslah dilakukan semata-mata kerana Allah, tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan daripada manusia. Rasulullah SAW sendiri sering menasihati sahabat-sahabatnya agar melakukan ibadah secara tersembunyi, kerana ibadah yang dilakukan dalam keadaan ikhlas lebih tinggi nilainya di sisi Allah.
Bagi memastikan ibadah kita benar-benar kerana Allah, kita perlu melakukan muhasabah sebelum berkongsi apa-apa di media sosial. Tanya diri sendiri, “Adakah aku berkongsi ini untuk memberi kesedaran kepada orang lain, atau sekadar ingin mendapat perhatian?” Jika niat kita lebih kepada mengharapkan penghargaan manusia, sebaiknya kita menyimpan ibadah itu sebagai rahsia antara kita dan Allah.
Ikhlas dan Fokus Ibadah
Salah satu cara terbaik untuk mengekalkan keikhlasan adalah dengan mengamalkan ibadah secara sembunyi. Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dan lelaki yang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya” . Sesungguhnya ibadah yang kita lakukan tidak memerlukan penonton. Allah Maha Mengetahui segala amal yang kita lakukan.
Keikhlasan dalam beribadah memberikan kesan yang besar kepada jiwa. Hati menjadi lebih tenang kerana tidak lagi terbeban dengan keinginan untuk mendapat pengiktirafan
manusia. Pahala yang diperoleh juga lebih besar, kerana ibadah yang dilakukan tanpa riak diterima tanpa hijab oleh Allah. Lebih daripada itu, apabila kita benar-benar fokus kepada ibadah kerana Allah, kita akan merasakan hubungan yang lebih erat dengan-Nya. Ramadan bukanlah bulan untuk berlumba-lumba menunjukkan ibadah kepada manusia, tetapi bulan untuk mendekatkan diri kepada Pencipta.
Kisah para sahabat membuktikan keindahan ibadah yang tersembunyi. Abu Bakar As-Siddiq contohnya sering bersedekah secara rahsia sehingga tiada siapa yang mengetahui tentang amalannya kecuali setelah beliau meninggal dunia. Imam Al-Ghazali dalam kitabnya yang terkenal, Minhajul Abidin juga ada menasihatkan bahawa ibadah yang tersembunyi itu lebih mulia kerana tidak dicampuri hawa nafsu.
Di 10 hari terakhir Ramadan kali ini, marilah kita tanya diri sendiri sebelum memuat naik apa-apa tentang ibadah. Jika tiada media sosial, adakah kita masih beribadah dengan penuh keikhlasan? Pilihan di tangan kita: nak beribadah atau nak viralkan ibadah?
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Nur Muizz Mohamed Salleh
Pensyarah Multimedia Kreatif,
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran
Universiti Islam Selangor (UIS)