fb fb fb fb fb

Jangan diubah nikmat al-Quran menjadi fitnah

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Sesungguhnya antara nikmat teragung yang Allah kurniakan kepada kita kaum muslimin adalah nikmat al-Quran al-Karim, kitab yang mengandungi petunjuk dan cahaya serta penyembuh bagi apa yang ada di dalam hati.

Pada zaman dahulu, hanya sebilangan kecil manusia yang menghafaz kitab Allah namun pada zaman kita ini, Allah SWT telah mengurniakan ramai orang berkemampuan untuk menghafaz al-Quran, baik orang dewasa mahupun kanak-kanak, lelaki mahupun wanita. Ini adalah nikmat agung yang menuntut kesyukuran dan puji-pujian kepada Allah SWT.

Akan tetapi malangnya, kita dapati sebahagian penghafaz al-Quran hanya berpuas hati dengan hafalan semata-mata tanpa mengambil berat untuk memahami maknanya atau merujuk kepada tafsiran ulama atau perkataan ahli ilmu.

Bahkan ada di antara mereka yang hanya berpuas hati dengan mendengar seorang sheikh di televisyen atau di saluran Youtube, kemudian dia menyangka dia telah menguasai seluruh ilmu lalu tampil untuk berbicara dan berfatwa dalam kalangan manusia. Tidak cukup dengan itu, dia menghukum manusia dengan syirik, kufur, bida’ah, menyalahi sunnah dan label-label yang seumpamanya.

Keadaan ini sangat berbahaya di mana nikmat al-Quran yang dianugerahkan kepada umat manusia telah berubah menjadi fitnah. Keadaan seperti ini telah diisyaratkan oleh Baginda Nabi SAW dalam hadis 1400 tahun yang lalu sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban, al-Tahawi, al-Bazzar dan Abu Ya’la daripada Huzaifah RA:

“Sesungguhnya yang paling aku takuti ke atas kamu adalah seorang lelaki yang membaca al-Quran, sehingga apabila keindahan al-Quran itu terpancar padanya dan dia menjadi penolong kepada Islam, kemudiannya dia merobah al-Quran (menurut kehendaknya) dan melepaskan diri daripadanya dan mencampakkannya ke belakang, lalu dia menyerang jirannya dengan pedang dan menuduhnya syirik. Aku bertanya: Ya Rasulullah, siapakah di antara keduanya yang lebih berhak dengan kesyirikan? Baginda bersabda: Orang yang menuduh.”

Demikian juga, sejarah hitam pembunuhan Ali RA adalah tindakan radikal seorang yang menghafal al-Quran namun memahaminya dengan sisi pandang berbeza dengan apa yang difahami oleh para sahabat Nabi SAW.

Kes-kes sebegini cukup untuk dijadikan bukti yang menunjukkan bahawa nikmat al-Quran kurniaan Allah SWT kepada umat manusia boleh bertukar menjadi fitnah yang sangat berpotensi mengancam keselamatan dan keharmonian hidup manusia.

Oleh itu, Allah SWT dan Nabi SAW telah memerintahkan kita untuk kembali kepada Ahli al-Zikr jika kita tidak mengetahui sesuatu perkara. Firman Allah Taala: “Maka bertanyalah kepada Ahli al-Zikr jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43)

Mereka yang dimaksudkan sebagai ahli zikir itu adalah ahli ilmu dan ulama tafsir yang menuntut ilmu dari sumber-sumbernya dan menerimanya dengan sanad yang bersambung kepada para ulama yang muktabar.

Setiap ulama rabbani mempunyai sanad dalam ilmu sampai ke penggubal sesuatu ilmu dan kemudiannya sampai kepada Rasulullah SAW. Perlu disebutkan bahawa sanad adalah antara ciri khas umat ini yang mana tanpanya, sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja yang dia kehendaki.

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Allah akan menjadikannya faham dalam agama. Dan sesungguhnya aku hanyalah pembahagi dan Allah pemberi.”

Ilmu adalah nikmat agung dan Nabi SAW membahagikan ilmu dalam kalangan para sahabatnya. Baginda mengkhususkan Ali RA dalam bidang kehakiman, lalu bersabda: “Yang paling baik dalam kehakiman di antara kamu adalah Ali.” Baginda mengkhususkan Zaid bin Thabit dalam bidang Fara’id dan Mu’az bin Jabal dalam bidang halal dan haram serta mendoakan Ibnu Abbas: “Ya Allah, fahamkanlah dia dalam agama dan ajarlah dia takwil (al-Quran).”

Namun begitu, kita tidak pernah melihat seorang pun daripada para sahabat ini melampaui batas dalam bidang orang lain atau mencela mereka atau campur tangan dalam perkara yang tidak mereka kuasai.

Antara kisah yang agung ialah kisah seorang wanita yang melahirkan anak selepas enam bulan. Sebahagian mereka keliru dengan hal itu, lalu Ali RA memahaminya melalui penarikan hukum syarak dari al-Quran dan mereka mengetahui bahawa apa yang dikatakannya adalah benar.

Oleh itu, berpegang teguhlah dengan pentafsiran al-Quran oleh para ulama dan ahli tafsir yang muktabar seperti Imam al-Suyuti, Imam al-Razi, Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan yang lain-lain supaya al-Quran kekal menjadi kitab hidayah dan petunjuk kepada sekalian umat manusia serta tidak berubah menjadi fitnah yang boleh menggugat keharmonian hidup manusia sejagat.

Para ulama dan ahli tafsir kontemporari juga tidak kurang hebatnya seperti Sheikh Wahbah al-Zuhayli, Sheikh Sa’id Hawwa, Sheikh al-Sha’rawi, Sheikh Ali al-Sabuni dan lain-lain yang perlu dijadikan rujukan oleh umat Islam dalam memahami kalam Allah dengan tafsiran yang benar dan semasa.

Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita dari kalangan ahli al-Quran dan agar Dia memahamkan kita dalam agama serta menggunakan kita sebagai asbab hidayah kepada orang lain serta menetapkan kita di atas jalan-Nya yang lurus.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. MAHYUDIN DAUD
Dr. Mahyudin Daud
Pensyarah Kanan
Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC)
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-me: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI