SAUDARA PENGARANG
Op Pedo Bersepadu 2.0 yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 22 hingga 30 September lalu antara lain mendedahkan pembabitan kanak-kanak seawal usia 12 tahun dalam jenayah seksual, bukan sahaja sebagai mangsa tetapi pelaku kegiatan itu secara digital.
Penemuan lebih mengejutkan apabila seorang remaja 17 tahun yang ditahan menjana lebih RM76,000 hasil jualan video lucah kanak-kanak dalam talian dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Pendedahan ini membuktikan masalah jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur semakin membimbangkan, sekali gus menuntut tindakan dan penyelesaian segera semua pihak mencakupi keluarga, komuniti, sekolah dan pihak berkuasa.
Peralihan moral tingkah laku remaja negara ini yang bukan sahaja menjadi mangsa, malah turut menjadi pelaku jenayah seksual digital mendedahkan sisi gelap masalah sosial belia yang cukup serius dan mula mencabar iltizam dan keberanian masyarakat untuk bertindak segera.
Ironinya pendedahan ini menandakan jenayah seksual remaja bukan kes terpencil, tetapi fenomena sosial yang kian merebak. Sebelum ini pihak berkuasa turut melaporkan berlaku peningkatan ketara dalam kes rogol dan sumbang mahram di sebuah negeri dengan remaja bawah umur menjadi pelaku dan mangsa utama. Malah, kita masih segar dengan insiden rogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah yang menggemparkan negara.
Jelas, masalah ini semakin serius dan kita tidak boleh berpeluk tubuh, apatah lagi menuding jari menyalahkan pihak lain. Remaja hari ini adalah harapan pewaris bangsa, dan kita tidak boleh membiarkan golongan muda ini hanyut dan merosakkan masa depan melalui tingkah laku tidak bermoral hingga terjebak dalam aktiviti jenayah.
Sudah tiba masanya untuk kita bersepakat memperbetulkan kompas moral golongan remaja agar mereka sedar apa itu betul dan apa itu salah, tahu batas perhubungan dan tingkah laku, ada nilai jati diri yang tinggi berpaksikan ajaran agama yang kukuh sebagai benteng diri, selain ada ilmu pendidikan seksualiti yang betul dan beretika.
Usaha ini menuntut komitmen dan keberanian moral semua pihak berkepentingan. Ibu bapa misalnya tidak boleh lepas tangan atau mengharapkan sekolah semata-mata untuk membentuk sahsiah dan memperbetulkan kompas moral anak-anak. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai guru pertama kepada setiap anak.
Hakikatnya, baik ilmu agama, pendidikan seksualiti mahupun nilai-nilai moral terpuji semuanya wajar dan perlu bermula dari rumah. Ini tanggungjawab hakiki setiap ibu bapa bagi memastikan anak-anak bersedia bergaul dengan masyarakat dan memasuki alam persekolahan dengan nilai diri yang kukuh.
Misalnya, ibu bapa perlu memberikan pendidikan seksualiti berlandaskan ajaran agama yang betul kepada anak-anak seawal usia, sebelum mereka terdedah kepada pengaruh negatif luar.
Pendidikan akan memudahkan pemahaman anak-anak tentang kepentingan menjaga dan memelihara nilai maruah diri dan tanggungjawab terhadap tubuh serta akhlak masing-masing, selain sedar keperluan untuk menghormati maruah dan keaiban orang lain.
Internet dan media sosial mula menjadi duri dalam daging apabila mempengaruhi tingkah laku negatif belia, namun adakah wajar ibu bapa menyalahkan kemajuan teknologi dan gajet semata-mata tatkala kita yang menyediakan kemudahan itu kepada anak?
Ibu bapa tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu kawal penggunaan internet dan gajet dalam kalangan anak-anak. Jangan biarkan anak-anak bawah umur 16 tahun ada media sosial dan melayari kandungan atau laman web yang mengandungi unsur lucah dan jenayah.
Dalam masa sama, peranan guru dan sekolah wajar terus diperkukuh bagi menyuntik nilai moral dan meningkatkan kesedaran terhadap jenayah seksual. Program advokasi berterusan yang efektif dan mudah difahami perlu diperbanyakkan dengan kerjasama pelbagai agensi serta pakar berkaitan.
Kita juga menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Namun, memandangkan situasi semakin membimbangkan, pelaksanaannya wajar disegerakan tanpa menunggu Kurikulum Persekolahan 2027.
Kita perlu sedar keadaan semakin mendesak, statistik jenayah seksual remaja semakin meningkat, anak-anak semakin hanyut dengan pelbagai pengaruh negatif, maka inisiatif baik ini perlu disegerakan, malah modul pengajarannya perlu disemak dan ditambahbaik dengan keperluan semasa.
Modul dan garis panduan PEERS ini wajar membimbing ibu bapa dan guru menyampaikan maklumat tepat berkaitan seksualiti, selain memberi panduan dan membentuk nilai serta jati diri remaja dalam membuat keputusan bijak untuk melindungi diri daripada aktiviti berisiko tinggi dan gejala sosial seperti penglibatan dalam jenayah seksual.
Hakikatnya pendidikan dan pengetahuan adalah benteng terbaik yang boleh menyelamatkan remaja dari terus terjerumus dalam pelbagai masalah jenayah seksual.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru dan sekolah serta pihak kerajaan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya agar belia dapat membuat keputusan dalam mengurus emosi, tingkah laku dan batas seksualiti dengan bijaksana.
Realitinya, generasi muda hari ini sedang berhadapan dengan dugaan dan godaan yang jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu. Mereka tidak memiliki kematangan yang cukup untuk menapis pengaruh, apatah lagi menangkis ancaman yang hadir dari segenap penjuru.
Maka, semua pihak baik ibu bapa, guru, masyarakat, pihak berkuasa, dan pembuat dasar perlu berganding bahu. Kanak-kanak bukan sekadar waris keluarga, tetapi juga aset negara.
Menangani jenayah seksual remaja bukan lagi pilihan, tetapi tuntutan moral dan nasional yang penting kerana melindungi remaja bererti melindungi masa depan Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)