fb fb fb fb fb

Tempatkan bidang psikologi di landasan yang betul

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian di negara kita. Kes kemurungan, tekanan kerja, dan gangguan emosi kini bukan lagi perkara luar biasa. Namun, dalam keghairahan masyarakat memberi perhatian terhadap kesihatan mental, masih ramai yang keliru tentang peranan sebenar ahli psikologi berbanding psikiatri dan kaunselor.

Hakikatnya, bidang psikologi jauh lebih luas dan penting daripada apa yang sering digambarkan. Sudah tiba masanya masyarakat dan institusi menempatkan bidang ini di ruang kerja yang sewajarnya agar kepakarannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Apabila disebut “pakar psikologi”, ramai membayangkan seseorang yang mendengar masalah dan memberi nasihat semata-mata. Sedangkan psikologi ialah kajian saintifik tentang minda, emosi dan tingkah laku manusia dari peringkat awal seperti mengenal pasti masalah psikologi, mendiagnosis, melakukan pentafsiran ujian psikologi dan seharusnya melalukan intervensi yang sesuai bagi merawat masalah kesihatan mental pelanggan.

Bidang ini mempunyai pelbagai cabang seperti psikologi pendidikan, psikologi kanak-kanak, psikologi perkembangan, psikologi sosial, psikologi industri dan organisasi, psikologi sukan, psikologi forensik dan psikologi klinikal. Setiap cabang mempunyai fungsi tersendiri — daripada meningkatkan motivasi pelajar di sekolah hingga membantu organisasi memahami tingkah laku pekerja.

Malangnya, kefahaman masyarakat terhadap peranan psikologi masih cetek. Ramai beranggapan semua masalah kesihatan mental perlu dirujuk kepada psikiatri, sedangkan tidak semua kes memerlukan intervensi ubat-ubatan.

Pakar Psikologi mempunyai kemampuan untuk mengesan dan mendiagnosis masalah kesihatan mental melalui penggunaan alat ujian psikologi atau psikometrik yang terdiri daripada berbagai alat ujian yang berfungsi untuk mengesan dan mendiagnosis masalah mental dan lain-lain yang berkaitan dengan masalah psikologi.

Hasil daripada pengujian psikologi tersebut akan memberikan diagnosis yang diperlukan untuk melakukan intervensi yang sesuai yang diperlukan untuk merawat masalah kesihatan mental yang dialami.

Keperluan Memperkukuh Bidang Psikologi

Walaupun graduan dalam bidang psikologi ramai yang dihasilkan di Malaysia, namun jumlahnya masih tidak memadai berbanding dengan jumlah populasi. Penempatan yang tidak tepat graduan psikologi dan kekeliruan peranan pakar psikologi telah menambahkan lagi masalah ini yang melemahkan peranan dan tanggungjawab pakar psikologi dalam menangani kes-kes kesihatan mental dalam masyarakat.

Bagi Pakar Psikologi Klinikal, situasi di Malaysia lebih meruncing. Data terkini menunjukkan jurang yang besar antara keperluan dan kemampuan sistem kita dalam menyediakan perkhidmatan psikologi klinikal.

Terdapat hanya kira-kira 400 ahli psikologi klinikal di Malaysia untuk populasi sekitar 33 juta orang — satu kajian menyebut nisbah di Malaysia ialah 1:109,000 dalam konteks psikologi klinikal - iaitu nisbah yang jauh di bawah standard WHO atau negara maju iaitu nisbah 1:5,000.

Artikel lain menyebut bahawa bilangan penuh Pakar Psikologi Klinikal, yang berada di bawah keanggotaan Malaysian Society of Clinical Psychology ialah kira-kira 300, tetapi hanya kira-kira 200 aktif menangani pelanggan (klien) secara tetap. Impak daripada kekurangan ini adalah besar:

  • Pengesanan awal tidak dapat dilakukan, yang seharusnya dilakukan di peringkat sekolah, keluarga dan komuniti. Ini menyebabkan diagnosis awal dan intervensi awal tidak dapat dilakukan yang mengakibatkan kita lebih kepada melakukan pendekatan pembetulan bukan tindakan pencegahan. Sudah berlaku baru kecoh untuk memperbetulkan.
  • Ramai individu dengan masalah tekanan, kebimbangan, kemurungan ringan tidak mendapat intervensi psikologi awal yang mungkin menyebabkan keadaan menjadi lebih serius.
  • Beberapa institusi seperti sekolah, pejabat, pusat komuniti kurang atau tiada pakar psikologi menjadikan beban kes kerjaya atau sosial diletakkan kepada kaunselor atau staf bukan pakar.
  • Ketidakseimbangan bilangan pakar juga membawa kepada waktu menunggu yang panjang, capaian yang sukar, dan fokus utama diberikan kepada kes yang sangat kritikal sahaja — sedangkan banyak kes boleh ditangani lebih awal melalui pendekatan psikologi.

Psikologi Klinikal Patut Menjadi Barisan Pertama

Bagi kes seperti isu tingkah laku agresif, gangguan seksual, tekanan, kebimbangan, kemurungan ringan, trauma atau masalah hubungan, ahli psikologi sepatutnya menjadi barisan pertama untuk membuat pengukuran dan penilaian.

Melalui ujian psikometrik dan terapi berasaskan bukti, Pakar Psikologi boleh mengenal pasti tahap gangguan dan menawarkan rawatan yang sesuai. Pendekatan awal ini bukan sahaja lebih efektif, malah dapat mengelakkan masalah menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan perubatan.

Isu pelajar sekolah yang bertindak agresif hingga mencederakan atau membunuh rakan tidak boleh dilihat hanya dari sudut disiplin atau undang-undang. Ia mungkin berpunca daripada tekanan emosi, trauma, atau gangguan perkembangan yang tidak dikenal pasti lebih awal.

Dalam kes sebegini, Pakar Psikologi perlu menjalankan penilaian diagnostik terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Pakar Psikiatri. Penilaian ini bagi membantu memahami punca sebenar tingkah laku agresif, sama ada disebabkan faktor persekitaran, keluarga, atau masalah dalaman diri pelajar itu sendiri. Pendekatan ini penting agar intervensi yang dibuat bukan hanya menghukum, tetapi juga membantu memulihkan kesejahteraan mental dan emosi pelajar.

Perluas Pengiktirafan dan Peluang

Sudah sampai waktunya bidang psikologi diberikan pengiktirafan rasmi dan peluang kerjaya yang lebih luas dalam sektor awam dan swasta. Setiap hospital, sekolah dan jabatan kerajaan perlu mempunyai unit psikologi yang terdiri daripada graduan dan pakar bidang psikologi yang berfungsi sejajar dengan psikiatri dan kaunseling — bukan di bawahnya.

Pendekatan ini akan membantu menangani isu kesihatan mental secara lebih menyeluruh, bukan sekadar menumpukan kepada rawatan pesakit tetapi juga pencegahan awal dan intervensi sosial.

Psikologi bukan sekadar mendengar masalah atau memberi nasihat, tetapi ilmu sains yang memahami cara manusia berfikir, merasa dan bertindak. Dengan menempatkan ahli psikologi pada bidang kerja yang betul, kita bukan sahaja membantu individu mengurus emosi dan tekanan hidup, tetapi juga membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan harmoni.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR FONNY DAMEATY
Prof Madya Dr Fonny Dameaty Hutagalung
Pakar Psikologi
Fakulti Pendidikan
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI