SAUDARA PENGARANG
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan titik permulaan yang terbaik bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat serta seterusnya mengeratkan lagi kerjasama dan perpaduan di antara negara-negara anggota ASEAN bagi masa depan yang baik.
Malaysia sebuah negara yang berdaulat yang terletak di rantau Asia Tenggara. Sebagai tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ini, Malaysia menjadi tumpuan dunia ketika ini. Persidangan yang membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan” bukan sahaja mengangkat kerjasama serantau, keamanan dan pembangunan ekonomi malah ia selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang sering diperkatakan.
Kehadiran Presiden, Donald Trump ke negara ini secara tidak langsung telah berjaya menaikkan imej negara di mata dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai tadbir urus yang baik, pembangunan mampan dan masyarakat majmuk yang harmoni.
Pujian harus diberikan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya memainkan peranan sebagai orang tengah dalam pertikaian sempadan Kemboja-Thailand.
Usaha Malaysia itu berhasil dengan kedua-dua negara bersetuju menandatangani Perjanjian Damai KL; gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta merta yang disaksikan oleh Anwar dan Trump. Apa yang menarik lagi ialah Amerika Syarikat turut memeterai kerjasama perdagangan utama dengan Kemboja dan Thailand susulan perjanjian damai tersebut.
Inilah pentingnya diplomasi dalam hubungan antarabangsa. Menyelesaikan konflik melalui perundingan dan dialog. Kita boleh saja menggunakan kekerasan untuk menunjukkan siapa yang hebat tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah malah akan menjadikan keadaan lebih buruk lagi.
Bukan sahaja negara yang bertelingkah menerima akibatnya malahan negara-negara jiran turut menerima tempiasnya. Titik persamaan perlu dicari manakala perbezaan pendapat perlu dirai agar kesejahteraan, kepentingan, kedaulatan dan keamanan negara dapat dijaga.
Malaysia turut melakar sejarahnya dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini apabila Timor-Leste secara rasminya menjadi anggota ASEAN ke-11 menerusi pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN. Ini secara tidak langsung memberikan Timor-Leste suara, sama ada di peringkat serantau, juga negara-negara ASEAN yang semakin bersatu dan mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai bidang.
Kita percaya, 11 negara anggota ASEAN ini mampu melakukan perubahan yang lebih baik daripada apa yang terbaik pernah dilakukan. Perubahan yang dimaksudkan ialah ASEAN tidak hanya sekadar menunggu peluang tetapi mencipta peluang agar suara ASEAN tidak hanya di peringkat serantau sahaja tetapi didengari di peringkat antarabangsa.
Kehadiran Presiden Donald Trump sebagai salah satu kuasa besar dunia boleh dikatakan sebagai satu pengiktirafan rasmi peringkat antarabangsa terhadap kepimpinan dan keupayaan ASEAN dalam memajukan komuniti ASEAN, mengekalkan kestabilan politik, memperkukuhkan ekonomi, serta kerjasama diplomatik yang erat kalangan pemimpin dalam menghadapi cabaran global pada masa kini.
Apa yang lebih penting, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memperlihatkan kepimpinan yang berwibawa dan menekankan nilai-nilai kemanusiaan. Ini terbukti apabila YAB tetap lantang bersuara mempertahan prinsip tidak menyokong keganasan dan kezaliman di Palestin pada Sidang Kemuncak ASEAN tersebut yang turut dihadiri oleh Presiden Trump.
Malaysia juga menyambut baik Pelan Damai Gaza yang diperkenalkan oleh Trump dengan harapan Pelan Damai itu membawa kepada penyelesaian konflik di Semenanjung Gaza. Ini menunjukkan pendirian Malaysia kekal konsisten dan akan terus bersuara memperjuangkan isu Palestin, menolak segala bentuk kezaliman, penindasan seterusnya menyeru masyarakat antarabangsa menghentikan semua bentuk keganasan dan ketidakadilan.
Harapan kita semua adalah kejayaan sesebuah negara bukanlah diukur dari kekuatan ketenteraan atau saiz negara tersebut, tetapi kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin dalam mentadbir dan menguruskan ideologi yang berbeza di pentas antarabangsa demi kestabilan dan keamanan dunia sejagat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dato Dr Mustapha Ahmad Marican
Pengerusi NGO Antarabangsa
Profesor Adjung
Universiti Malaysia Terengganu