SAUDARA PENGARANG
Persidangan ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025 bukan sekadar acara diplomatik, tetapi merupakan peluang penting untuk memperkukuh agenda bersama serantau yang menjunjung nilai “Inklusiviti dan Kelestarian”.
Pembangunan sosial mampan bukan hanya berkisar tentang pertumbuhan ekonomi. Ia menuntut pendekatan yang lebih holistik yang memastikan kesejahteraan komuniti, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita dan masyarakat minoriti.
Dalam landskap global yang semakin mencabar, dengan perubahan iklim, ketidaksamaan sosial, serta eksploitasi rentas sempadan, saya percaya bahawa ASEAN tidak mempunyai pilihan lain selain berganding bahu. Kerjasama erat antara negara anggota bukan sahaja bijak dari sudut strategi, tetapi juga merupakan satu keperluan moral.
Salah satu perkembangan yang amat signifikan ialah penyertaan Timor Leste sebagai anggota terbaru ASEAN. Ini membuka peluang untuk memperluas jaringan sokongan serantau, serta menyokong Timor Leste dalam membangunkan program dan dasar sosial yang inklusif dan lestari.
Negara-negara ASEAN yang lebih berpengalaman wajar berkongsi amalan terbaik mereka dalam usaha ini, menjadikan kerjasama ini saling melengkapi, bukan sekadar bersifat satu hala.
Dalam konteks ini, saya mencadangkan beberapa langkah strategik.
Pertama, memperkukuh sistem sokongan sosial dengan membina rangka kerja komuniti yang benar-benar inklusif. Program penjagaan sosial perlu menyeluruh, menyasarkan bukan sahaja keperluan asas, tetapi juga membina daya tahan jangka panjang.
Kedua, pendidikan dan pemberdayaan ekonomi harus diberi keutamaan. Akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat bukan sahaja mengurangkan ketidaksamaan, tetapi turut membuka ruang kepada mobiliti sosial yang lebih adil.
Ketiga, kita perlu memanfaatkan kerjasama rentas sempadan bagi menangani isu sosial yang semakin kompleks seperti eksploitasi buruh, perdagangan manusia, jenayah terancang dan cabaran kesihatan mental. Mekanisme perkongsian maklumat dan amalan terbaik serantau harus dibangunkan dan diperluaskan, termasuk melibatkan negara baharu seperti Timor-Leste.
Keempat, pendekatan pelbagai pihak yang kolaboratif adalah kunci. Kerjasama antara sektor awam, swasta, masyarakat sivil dan rakan antarabangsa akan menjadikan inisiatif sosial lebih berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan sebenar masyarakat.
Negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai tanggungjawab tambahan sebagai mentor serantau. Dengan pengalaman dalam membina sistem pendidikan inklusif, dasar perlindungan kanak-kanak dan inisiatif komuniti lestari, negara-negara ini berada pada kedudukan terbaik untuk membimbing dan menyokong rakan-rakan serantau yang sedang membangun.
Apabila ASEAN memilih tema “Inklusiviti dan Kelestarian” untuk tahun ini, ia sebenarnya mencerminkan aspirasi lebih besar: bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh dilihat dalam vakum. Ia mesti diiringi dengan kesejahteraan sosial, keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
ASEAN tidak boleh menjadi blok ekonomi yang berjaya semata-mata, tetapi harus juga dilihat sebagai komuniti sosial yang prihatin, yang tidak melupakan alam sekitar mahupun maruah insan.
Saya yakin bahawa melalui komitmen yang ikhlas dan tindakan kolektif yang tersusun, ASEAN mampu menjadi model pembangunan sosial mampan yang memberi inspirasi kepada komuniti global. Dunia hari ini memerlukan contoh kejayaan yang tidak hanya mengutamakan angka dan keuntungan, tetapi yang menitikberatkan manusia dan masa depan bersama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Sabri Sulaiman
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya
e-mel: