SAUDARA PENGARANG
Buta warna kongenital (pewarisan) merupakan salah satu jenis anomali disebabkan oleh kecacatan pada Kromosom-X yang diwarisi daripada si ibu semenjak lahir. Hasil dapatan kajian yang dijalankan di Ethiopia melibatkan 844 kanak-kanak sekolah rendah mendapati bahawa 4.1% daripada mereka mengalami defisiensi penglihatan warna dengan 3.6% lelaki dan 0.6% perempuan terjejas.
Dalam kalangan kanak-kanak, situasi ini sukar dikesan khususnya di peringkat awal persekolahan kerana mereka menganggap bahawa itulah cara dunia dilihat oleh kanak-kanak lain dan ditambah pula jika mereka mempunyai tahap penglihatan yang baik.
Kesan daripada perkara ini menyebabkan berlakunya gangguan dalam prestasi akademik mereka. Seiring dengan perubahan teknologi, kaedah pembelajaran dalam sistem pendidikan moden mula mengaplikasikan penggunaan warna dalam menyampaikan maklumat tertentu.
Penggunaan warna sebagai kod atau penanda penting dalam carta, graf, peta, lukisan dan papan tulis menyebabkan golongan ini gagal mentafsir dengan baik lalu menyebabkan mereka tertinggal dan gagal memahami konsep yang disampaikan. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak dapat membezakan antara kawasan yang diwarnakan dengan merah dan hijau dalam carta, lalu memberi jawapan yang salah dalam ujian atau kuiz.
Selain itu, tugasan seni visual, sains, geografi dan pendidikan teknikal yang memerlukan mereka mengenal pasti dan menggunakan warna dengan tepat boleh menjadi cabaran besar buat mereka. Sebagai contoh, mereka sukar membezakan jenis tanah dalam peta atau memahami kod warna dalam lukisan kejuruteraan menyebabkan berlakunya kekangan dalam subjek-subjek tertentu. Kesukaran dalam aspek ini boleh membatasi pencapaian akademik dan pilihan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Kesan daripada situasi ini menyebabkan guru dan rakan-rakan menganggap mereka cuai dan kurang pandai kerana tidak mematuhi arahan warna yang sepatutnya lalu menyebabkan keyakinan diri semakin menurun, malu dan merasa rendah diri. Dalam jangka masa panjang, mereka mula hilang keyakinan diri dan motivasi untuk terus aktif berinteraksi dalam bilik darjah serta hilang minat untuk mendalami subjek tersebut.
Oleh itu, tindakan pengesanan awal wajar dilakukan bagi membantu golongan ini bagi menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran. Saringan penglihatan mata yang disarankan sebelum memasuki alam persekolahan tidak boleh hanya tertumpu kepada tahap penglihatan semata-mata namun perlu dijalankan secara komprehensif dan melibatkan ujian pengesanan warna agar langkah awal dapat diambil sekiranya individu tersebut mempunyai masalah buta warna.
Dalam konteks kepakaran Optometris, masalah buta warna ini adalah bersifat kekal dan tiada sebarang rawatan untuk mengubati. Namun gabungan kajian ilmiah dan perkembangan teknologi telah menghasilkan alat bantu bagi membolehkan pesakit melihat seperti manusia normal dengan menggunakan alat bantuan. Contohnya, kanta sentuh atau cermin mata khas ChromaGen Lenses, kanta sentuh RedChroma yang dapat meningkatkan tona warna agar pesakit dapat membezakan warna sekali gus membantu pesakit mengecam warna dengan lebih baik.
Pihak guru juga perlu memainkan peranan dengan mendapatkan pendedahan dan latihan bagi mengenal pasti tanda-tanda buta warna dalam kalangan murid. Guru juga perlu mencari alternatif lain dalam menyampaikan maklumat selain menggunakan warna dalam sesi pembelajaran seperti menggunakan corak, label atau kod simbol.
Tidak dinafikan juga peranan pihak kaunselor sekolah dalam membina semula keyakinan diri pelajar yang mungkin terkesan dari segi emosi serta membimbing mereka dalam merancang hala tuju pekerjaan selepas alam persekolahan.
Buta warna mungkin kelihatan sebagai kekurangan kecil, tetapi kesannya terhadap pelajaran anak tidak boleh dipandang ringan. Tanpa sokongan yang sepatutnya, kanak-kanak buta warna berisiko menghadapi kesukaran berpanjangan dalam sistem pendidikan.
Maka, penting bagi ibu bapa, guru, dan pembuat dasar untuk menyedari kepentingan diagnosis awal dan tindakan yang menyeluruh demi memastikan semua pelajar mendapat peluang pembelajaran yang adil dan saksama.
Bagi ibu bapa, bertindak awal dengan melakukan pemeriksaan berkaitan. Di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), perkhidmatan pemeriksaan awal mata bagi kanak-kanak ada ditawarkan termasuk ujian penglihatan warna. HSAAS, UPM juga turut aktif menjalankan pemeriksaan mata kanak-kanak di tadika berdekatan bagi menyaring kanak-kanak sebelum mereka memasuki sekolah aliran perdana.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Kapt. Bersekutu (PA) Mohammad Nor Fitri bin Hasan
Pegawai Optometri, Jabatan Oftalmologi
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Universiti Putra Malaysia
Email: