fb fb fb fb fb

Puasa sebagai latihan disiplin terhadap ketetapan Ilahi

Foto hiasan/Arkib

SAUDARA PENGARANG

“Ahlan wa marhaban ya Ramadan” begitulah ucapan yang begitu sinonim dengan kegembiraan menyambut kehadiran bulan puasa Ramadan yang sentiasa dirindukan oleh setiap muslim.

Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut bulan Ramadan dengan penuh keinsafan dan keimanan. Berharap akan keredaan Allah swt. Merindukan keampunan Ilahi. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga satu madrasah dan universiti tarbiah yang mendidik jiwa dan raga.

Salah satu hikmah terbesar yang terkandung dalam kewajipan berpuasa ialah pembentukan disiplin dalam kehidupan beragama (berislam), seterusnya memperkukuhkan kepatuhan terhadap syariah Islam secara individu dan juga konteks berbangsa, bernegara.

Puasa bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah satu sistem kawalan diri yang mengajar kita untuk taat kepada perintah Allah dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.

Ketundukan kepada Ketetapan Ilahi

Syariat puasa adalah satu bentuk latihan disiplin yang mengajar kita untuk mematuhi hukum Allah tanpa soal. Dalam kontek puasa, ia bermula dari sebelum Subuh (waktu imsak) sehingga Maghrib (waktu iftar), kita diwajibkan untuk menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahalanya. Ini bukan satu pilihan, tetapi satu ketundukan kepada perintah syariah, yang mahu tidak mahu wajib dilakukan tanpa bantahan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tujuan utama puasa adalah untuk melatih kita menjadi insan bertakwa, yang bermaksud taat dan patuh kepada perintah Allah dalam setiap aspek kehidupan. Latihan disiplin ini bukan hanya terhad dalam bulan Ramadan tetapi sepatutnya diteruskan dalam kehidupan seharian.

Sehingga nanti seorang insan muslim yang sebenar akan merasa suasana dan momen puasa dalam makna ketundukan dan kepatuhan itu tidak hanya sebulan Ramadan, 29-30 hari sahaja. Tetapi adalah sepanjang tahun, sepanjang kehidupan. 24 jam dalam sehari.

Sebab mereka meyakini bahawa ketaatan dan kepatuhan terhadap Syariah Allah tidak terhad pada masa dan situasi tertentu sahaja, tetapi adalah setiap masa, setiap tempat dan keadaan. Sebagaimana sifat karakter ajaran Islam yang relevan dalam semua keadaan, tempat, dan ketika.

Pengawalan Diri dan Latihan Kesabaran

Ibadah puasa menuntut kesabaran dan pengawalan diri yang tinggi. Umat Islam bukan sahaja dilarang makan dan minum, tetapi juga diajar untuk menjaga lidah dari kata-kata yang tidak baik, mengawal emosi, serta menghindari perbuatan yang boleh mencacatkan kesahan ibadah puasa tetapi juga kualiti pahala puasa.

Ini adalah satu bentuk latihan mental yang mendidik seseorang untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan pertuturan. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah dia bercakap perkara yang buruk dan janganlah dia bertindak bodoh. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesan baginda Nabi Muammad SAW ini menggariskan bahawa syariat puasa bukan hanya menguji ketahanan fizikal, tetapi juga kawalan spiritual dan akhlak seseorang insan.

Jika seseorang berjaya mengawal dirinya sepanjang bulan Ramadan ini, maka ia sepatutnya akan menjadi lebih mudah untuk menerapkan sikap ini dalam kehidupan seharian. Ini bermakna kesan spiritual puasa tidak hanya aktual dalam bulan Ramadan semata-mata, tetapi berterusan sepanjang hayatnya.

Mematuhi Syariah dalam Setiap Urusan Seharian

Islam adalah Rahmat bagi sekalian alam, oleh itu syariat disiplin (ketaatan dan kepatuhan) yang diterapkan melalui ibadah puasa juga memberi impak kepada sistem kehidupan kita. Bagaimana kita menjalani kehidupan seharian dalam mematuhi syariah. Contohnya:

1. Menepati Waktu Solat
Seperti kita menunggu waktu berbuka dengan penuh disiplin, kita juga harus menerapkan disiplin dalam menunaikan solat pada waktunya tanpa berlengah. Demikian juga dengan urusan pekerjaan yang telah ditetapkan jadual dan temujanji yang telah ditetapkan.

2. Jujur dalam Muamalat dan menjalankan tanggungjawab (Amanah)
Jika kita boleh menahan diri daripada perkara halal seperti makanan, minuman dan syahwat faraj walaupun sesama suami isteri semasa berpuasa, kita sepatutnya lebih mampu menahan diri daripada melakukan perkara haram seperti riba, rasuah, penipuan dan pecah Amanah dalam tanggungjawab dan pekerjaan yang diberikan.

3. Mengawal Nafsu dan Emosi
Puasa Ramadan mengajarkan kita bahawa kesabaran dan keikhlasan adalah kunci utama dalam menjalani kehidupan yang selaras dengan kehendak syariah.

Oleh itu, puasa bukan hanya satu ibadah fizikal dan soal manahan makan minum dan sahwat semata, tetapi satu pembentukan karakter yang melatih kita untuk berpegang teguh pada ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.

Kesinambungan Disiplin Selepas Ramadan

Sebagai sebuah model pembentukan sahsiah berdisiplin. Maka antara Salah satu cabaran utama ialah bagaimana memastikan kepatuhan syariah yang dipelajari sepanjang Ramadan dapat dikekalkan sepanjang tahun dalam setiap aspek kehidupan.

Sejujurnya kita sering melihat bagaimana kita atau individu berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah pada bulan Ramadan, namun kembali semula kepada kebiasaan lama selepas puasa Ramadan berkahir. Bahkan seawal takbir hari raya mulai berkumandang memenuhi jagat alam. Inilah cabaran sebenar kepatuhan syariah dalam arti konsistensi dalam beramal ibadah.

Bukankah kita faham bahawa Islam itu bukan agama bermusim? tetapi satu cara hidup yang perlu dan wajib dipraktikkan setiap masa dan tempat? Justeru, Ramadan seharusnya menjadi titik tolak kepada perubahan yang berpanjangan, bukan hanya perubahan sementara dan bermusim.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kita boleh mendisiplinkan diri untuk berpuasa dan melakukan amal soleh selama 30 hari, mengapa tidak meneruskan momentum itu dalam kehidupan seharian? Jom tanyalah hati, introspeksilah iman kita.

Kesimpulan

Puasa Ramadan adalah sebuah sistem latihan intensif yang membentuk disiplin dan kepatuhan kepada syariah Islam. Ia mengajar kita bahawa kepatuhan kepada Allah bukan hanya dalam ibadah ritual semata, tetapi juga dalam pengurusan emosi, muamalat, pengurusan, organisasi, hubungan sosial, dan kehidupan seharian.

Latihan disiplin ini sepatutnya tidak terhenti selepas Ramadan, tetapi menjadi asas kepada kehidupan yang lebih bertakwa dan selari dengan prinsip syariah. Oleh itu, marilah kita manfaatkan Ramadan bukan sekadar untuk berpuasa, tetapi untuk mengasah keimanan, mengukuhkan disiplin diri, dan mempertingkatkan kepatuhan kepada syariah dalam setiap aspek kehidupan kita.

Semoga Ramadan ini membawa perubahan yang berkekalan dalam hidup kita, menjadikan kita Muslim yang lebih bertanggungjawab dan istiqamah dalam mentaati perintah Allah SWT.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Rusli Abdul Roni
Ketua Unit/Pensyarah
Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan
Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd)
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI