fb fb fb fb fb

Revolusi pendekatan digital menggalakkan pembelajaran kolaboratif

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Kebelakangan ini, kemajuan teknologi digital terus merubah landskap pendidikan global. Negara kita, Malaysia tidak terkecuali daripada arus perubahan ini. Seiring dengan usaha negara memperkukuh ekosistem pendidikan abad ke-21, pendekatan digital kini menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memupuk budaya pembelajaran kolaboratif dalam kalangan pelajar.

Peralihan daripada kaedah tradisional kepada pendekatan digital bukan sekadar penggunaan komputer atau gajet semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan satu transformasi yang menggabungkan pedagogi, teknologi dan interaksi dinamik bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif, fleksibel dan bermakna (meaningful learning).

Prinsip pengajaran yang hikmah sebagaimana dianjurkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125, menuntut guru menyampaikan ilmu dengan cara yang baik, tersusun dan sesuai dengan keadaan pelajar. Penggunaan alat digital interaktif adalah selari dengan tuntutan ini kerana ia memberi peluang kepada guru menyesuaikan pendekatan berdasarkan keperluan murid, gaya pembelajaran (learning style) murid, serta menggalakkan komunikasi dua hala yang tentunya lebih berkesan.

Penggunaan platform pembelajaran seperti Google Classroom, Microsoft Teams, Quizziz dan Learning Management System (LMS) memudahkan guru menyampaikan bahan pengajaran tanpa terhad kepada ruang fizikal. Pelajar pula berpeluang mengakses nota, tugasan, dan video pembelajaran pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan kadar kefahaman dan penguasaan mereka terhadap sesuatu topik.

Tambahan pula, pendekatan digital ini membuka ruang kepada PdP yang lebih responsif dan tersusun, selari dengan semangat dari Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepada kamu: 'Berilah lapang dalam majlis-majlis', maka lapangkanlah; nescaya Allah akan memberi kelapangan untuk kamu. Dan apabila dikatakan: 'Bangunlah kamu', maka bangunlah; nescaya Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Ayat ini menekankan bahawa Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu. Penerapan teknologi dalam pendidikan merupakan satu usaha memartabatkan proses penyampaian ilmu agar lebih cepat, tepat, dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, teknologi digital turut bertindak sebagai jambatan kepada pembelajaran kolaboratif. Aktiviti seperti perbincangan maya, projek berkumpulan secara dalam talian dan perkongsian idea melalui perisian kolaboratif menjadikan pelajar lebih terlibat secara aktif. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai penerima maklumat, tetapi turut menjadi pencetus idea, penyelesai masalah dan penyumbang kepada proses pembelajaran rakan mereka.

Revolusi digital ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti. Integrasi teknologi dalam PdP memperluas akses kepada pembelajaran setara, terutama bagi pelajar di kawasan luar bandar atau berpendapatan rendah. Melalui penggunaan kandungan digital yang boleh diakses pada bila-bila masa, jurang pendidikan semakin dapat dirapatkan.

Pendekatan ini turut menyokong prinsip pembelajaran sepanjang hayat, satu keperluan penting dalam membentuk masyarakat berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan global. Selain itu, usaha memperkukuh pendekatan digital dalam pendidikan juga mendukung aspirasi Malaysia melalui Agenda Madani, yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan, kemampanan dan kemajuan.

Pembelajaran kolaboratif yang dipacu teknologi bukan sahaja membina modal insan yang kompeten, malah menyuburkan budaya saling membantu, menghormati dan bekerjasama. Persekitaran ini membentuk generasi yang bukan sekadar celik digital tetapi juga memiliki akhlak dan empati, selaras dengan nilai ihsan yang dituntut oleh Islam serta objektif agenda MADANI.

Walaupun revolusi digital dalam pendidikan membawa pelbagai manfaat, ia turut menuntut kesiapsiagaan guru dan sekolah dari aspek kompetensi teknologi, infrastruktur dan sokongan berterusan. Guru perlu diberi latihan komprehensif, manakala sekolah perlu memastikan capaian internet dan peralatan digital sentiasa memadai. Selain itu, pelajar juga perlu dibimbing agar menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, pendekatan digital telah membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan. Dengan penyepaduan teknologi yang terancang dan berkesan, PdP dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, menarik dan efisien.

Pada masa yang sama, pelajar menjadi lebih aktif, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa kini melalui pembelajaran kolaboratif yang menggalakkan keterlibatan sejati. Revolusi ini membuktikan bahawa teknologi merupakan tonggak penting dalam memacu masa depan pendidikan negara yang lebih progresif, adil dan berteraskan nilai.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NADIAH RAMLAN NEW
Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI