SAUDARA PENGARANG
Sejak pembentukan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand sehinggalah berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bulan lalu di Kuala Lumpur, Malaysia telah memperlihatkan bagaimana ia berkembang daripada sebuah pertubuhan serantau kecil menjadi salah sebuah pertubuhan yang berjaya mengukuhkan keamanan serantau, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kerjasama negara anggota ASEAN.
Ketika ASEAN ditubuhkan, dunia sedang mengharungi fasa Perang Dingin antara dua kuasa dunia iaitu Amerika Syarikat Kesatuan Soviet. Rantau Asia Tenggara tidak terkecuali menerima kesan langsung daripada Perang Dingin dan sangat penting ketika itu, pemimpin ASEAN mencari jalan mengekalkan keamanan serantau dengan mengelakkan apa juga konflik.
Mekanisme ASEAN Kekalkan Keamanan dan Keselamatan
Melalui ASEAN, kesemua negara anggota bersetuju berpegang kepada prinsip tidak campur tangan, mengamalkan pembuatan keputusan secara konsensus dan menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi meja rundingan.
Formula ini terbukti berjaya mengekalkan keamanan serantau dan menjadikan rantau ini sebagai zon yang aman dan sentiasa mengamalkan dialog bagi menguruskan sebarang isu. Sepanjang tempoh 58 tahun tertubuhnya ASEAN, rantau ini berjaya mengelak daripada berlakunya sebarang konflik bersenjata atau peperangan dalam kalangan negara anggota.
Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara 1995 (SEANWFZ) pula berjaya memastikan zon ini bebas daripada sebarang pembangunan senjata nuklear. ASEAN juga menjadi jambatan kerjasama antara benua melalui Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, (TAC) yang diasaskan pada 1976, antara lain turut disertai kuasa-kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan negara-negara sahabat ASEAN.
Dengan kata lain, ASEAN berperanan sebagai platform diplomasi serantau menerusi mekanisme-mekanisme seperti Forum Serantau ASEAN (ARF), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM-Plus) yang menggalakkan usaha-usaha dialog dan rundingan dalam mengukuhkan lagi kedudukan rantau ini dari sudut keamanan dan keselamatan.
Mekanisme yang diamalkan oleh ASEAN ini akan terus berevolusi berdasarkan perkembangan politik dunia dan keperluan semasa.
ARF misalnya, bukanlah satu alat perundingan semata-mata tetapi ia merupakan struktur keselamatan kolektif serantau yang sentiasa ditambahbaik bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya dalam bidang keselamatan siber, maritim, antikeganasan dan bantuan bencana serta bidang yang diperlukan untuk rantau ini.
Kombinasi mekanisme dan rangka kerja digunakan ASEAN sejak 1967 terdiri daripada perjanjian, forum, prinsip-prinsip bersama dan kerjasama telah berjaya mengelakkan konflik serantau, menggalakkan dialog dan mengukuhkan perpaduan serta keselamatan Asia Tenggara. Pastinya, dalam konteks ini, ASEAN akan terus berevolusi bagi memastikan keamanan jangka panjang.
Rantau ASEAN Nikmati Pertumbuhan Ekonomi Sejak 1967
Penubuhan ASEAN bukan sahaja berjaya mengekalkan keselamatan dan keamanan tetapi turut membawa impak positif kepada kerjasama dan integrasi ekonomi serantau. Pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN pada 2015 misalnya, telah mewujudkan satu pasaran serantau tunggal yang membenarkan pergerakan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan tenaga kerja dalam kalangan negara anggota. Ini telah mengubah ASEAN menjadi blok ekonomi kelima terbesar dunia.
Sejak 1967, negara anggota ASEAN telah menikmati peningkatan dagangan intrarantau. Pada hari ini, jumlah dagangan intrarantau ASEAN mencecah lebih AS$3 trilion dan dilihat sebagai salah satu rantau ekonomi yang dinamik dan mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI). Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dengan rakan dagang seperti China, Jepun, Australia, New Zealand, India dan lain-lain kuasa ekonomi membantu mengembangkan lagi ekonomi ASEAN.
Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020 mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai salah satu blok dagangan terbesar dunia. Antara rangka kerja ekonomi lain yang dilaksanakan adalah Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang berjaya mewujudkan saling kebergantungan anggota ASEAN dalam memakmurkan ekonomi selain meningkatkan lagi sikap saling mempercayai dan berkongsi matlamat kestabilan bersama dari segi ekonomi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mengambil langkah menghidupkan semula pelaksanaan RCEP bagi memanfaatkan peluang perdagangan rentas sempadan dan menjadi strategi meningkatkan integrasi ekonomi serantau melalui peranan aktif ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan semula RCEP akan membuka ruang lebih luas untuk aktiviti dagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota ASEAN kerana RCEP menyediakan kerangka dagangan stabil dan melengkapi antara ekonomi ASEAN dan rakan luar.
Tidak dipinggirkan adalah usaha menguatkan lagi rangkaian atau hubungan rakyat dengan rakyat rantau ASEAN melalui pembentukan mekanisme dan rangka kerja yang sesuai. Pada 2015 contohnya, Komuniti ASEAN diperkenal berasaskan kepada 3 teras iaitu Komuniti Politik-Keselamatan (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya (ASCC) bagi mengukuhkan identiti serantau selain melambangkan perpaduan, kerjasama erat dan perkongsian nilai dalam semua negara anggota dan penduduk ASEAN.
Dalam hal ini, ASEAN turut mewujudkan pelbagai kaedah seperti Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), Deklarasi ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia dan Inisiatif Kerjasama Alam Sekitar, Kesihatan dan Pendidikan ASEAN antara lain dapat menggalakkan lagi persefahaman, sikap toleransi dan pengukuhan identiti serantau yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, negara dan agama. Seiring waktu, bendera ASEAN serta Hari ASEAN diperkenal bagi menyumbang kepada pengukuhan identiti serantau ini.
Pembangunan pendidikan serantau sentiasa diberi penekanan dan ASEAN sangat menggalakkan program-program pertukaran pendidikan, pemberian biasiswa dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk manfaat penduduk ASEAN khususnya orang muda melalui rangka kerja seperti Rangkaian Universiti ASEAN (AUN), penganjuran sukan, festival dan kerjasama pelancongan yang akhirnya, mengukuhkan lagi persefahaman dalam kalangan penduduk rantau ini.
Mahasiswa universiti mewakili modal insan masa hadapan untuk ASEAN dan fokus di dalam sektor ini dapat melahirkan tenaga kerja profesional serantau sesuai dengan keperluan ekonomi, universiti dapat menjadi hab inovasi, penyelidikan dan keusahawanan yang penting bagi industri dan pertumbuhan teknologi ASEAN, modal insan serantau dapat mengukuhkan industri tempatan dan mengukuhkan proses integrasi serantau melalui program pertukaran mahasiswa misalnya.
Bagi membolehkan setiap negara anggota mencapai pertumbuhan dalam ekonomi serantau, ASEAN menyediakan mekanisme Inisiatif Integrasi untuk ASEAN (IAI) untuk memastikan kemakmuran dikongsi bersama oleh negara-negara anggota.
Sejak ditubuhkan oleh 5 pengasas awal, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 anggota iaitu Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja. ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia menerima negara anggota baharu yang ke-11 iaitu Timor-Leste, menjadikan rantau Asia Tenggara yang lebih terangkum.
Penyertaan anggota ke-11 ini, dianggap sebagai pencapaian bersejarah yang menyumbang kepada pengukuhan solidariti serantau dan dilihat sebagai kemasukan tenaga baharu dan populasi muda ke dalam komuniti ASEAN yang memperkaya identiti kolektif politik, budaya dan ekonomi ASEAN serta merupakan satu komitmen Timor-Leste terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.
Pencapaian ASEAN dalam memastikan kestabilan serantau, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan serta bidang diplomasi telah terbukti berkesan selama lebih 5 dekad. Kebijaksanaan kepimpinan ASEAN menentukan hala tuju pertubuhan serantau ini diperlihatkan dari segi keupayaan mereka menggubal dasar, polisi, mekanisme, strategi dan tindak balas berkesan terhadap perubahan serantau dan antarabangsa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Aida Filzah Ramli
Pensyarah Program Teknologi Media
Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: